Você está na página 1de 19

40

MENATAP WAJAHNYA

1.0 SINOPSIS

Cerpen ini mengisahkan seorang remaja perempuan cacat yang bernama Muliati yang tinggal
bersama neneknya semenjak peristiwa kemalangan jalan raya yang telah mengorbankan keluarga
tersayangnya. Muliati menjadi cacat akibat kecelakaan sewaktu menyertai ekspedisi anjuran Kelab
Kembara sekolah semasa di tingkatan 5. Sebelum kemalangan, Muliati digambarkan sebagai seorang
gadis yang lincah dan ringan tulang, suka membantu gurunya. Tetapi selepas itu, perwatakannya telah
berubah iaitu dia mula menyepi dan menyisihkan diri. Namun demikian, Cikgu Balkis telah hadir dalam
hidupnya dan berjaya memujuk dan memberi semangat kepada Muliati agar terus memburu cita-
citanya. Akhirnya, dia telah berjaya melanjutkan pelajarannya ke universiti. Sewaktu Muliati belajar di
universiti dia begitu rindu akan gurunya. Dia sangat ingin berjumpa dengan gurunya tetapi Cikgu Balkis
tidak dapat memenuhi permintaannya dengan alasan suaminya tidak mengizinkan. Suaminya mahu
supaya dia memberi perhatian kepada anaknya sendiri. Atas ketabahan dirinya, Muliati telah berjaya
mendapat ijazah kepujian. Pada hari konvokesyen Muliati telah menerima sekeping pos kad daripada
Cikgu Balkis yang mengucapkan tahniah atas kejayaan. Muliati begitu sayu apabila mendapat tahu
bahawa Cikgu Balkis kini berada di London untuk menjalani pembedahan kerana menghidap penyakit
ganjil sejak beberapa tahun yang lalu. Cikgu Balkis juga meminta supaya Muliati mendoakannya supaya
selamat menjalani pembedahan tersebut.

2.0 TEMA

Cerpen ini bertemakan KASIH SAYANG, iaitu kasih sayang Muliati terhadap gurunya dan kasih sayang
Cikgu Balkis terhadap pelajarnya, Muliati dengan menganggap Muliati sebagai anak kandungnya sendiri.

3.0 PERSOALAN

 Pengorbanan
Iaitu pengorbanan seorang guru terhadap pelajarnya dengan membiayai persekolahan pelajarnya
sehingga berjaya ke universiti. Demikian juga dengan nenek Muliati sanggup berkorban bukan
sahaja memelihara Muliati malah berusaha mencari rezeki bagi menampung kehidupan mereka
berdua.

 Kegigihan
Iaitu kegigihan seorang pelajar yang agak malang kerana bukan sahaja cacat malah telah
kehilangan ahli keluarganya telah berusaha sehingga berjaya melaanjutkan pelajaran ke universiti.

4.0 WATAK & PERWATAKAN

MULIATI
Muliati ialah watak utama dalam cerpen ini.. Dia seorang anak yatim piatu apabila ibu bapa dan tiga
orang adiknya telah terkorban dalam tragedi kemalangan jalan raya. Muliati kemudiannya tinggal
bersama dengan neneknya. Muliati menjadi tempang kedua-dua belah kakinya manakala tangan kirinya
kudung akibat terjatuh ke dalam gaung semasa mengikuti satu ekspedisi Kelab Kembara sekolahnya
semasa di tingkatan 5. Sebelum kemalangan menimpa dirinya, Muliati iailah seorang gadis yang lincah
dan rajin menolong gurunya. Dia juga merupakan olahragawati di sekolahnya. Tetapi kemalangan itu
telah merubah perwatakannya kepada seorang yang pendiam dan suka menyendiri.
41

Muliati sangat disayangi gurunya Cikgu Balkis sehingga ada segelintir rakan-rakannya dengki
dan cemburu dengan tanggapan bahawa dia ialah anak emas Cikgu Balkis. Muliati menganggap Cikgu
Balkis sebagai ibu kandungnya sendiri.
Muliati digambarkan sebagai seorang gadis yang tabah dan cekal dalam mengharungi cabaran
hidup. Muliati juga gigih berusaha sehingga dia berjaya melanjutkan pengajiannya ke universiti dan
mendapat segulung ijazah kepujian.

CIKGU BALKIS
Cikgu Balkis ialah watak sampingan. Beliau ialah guru kepada Muliati. Cikgu Balkis adalah
seorang yang baik hati dan penyayang. Cikgu Balkis juga digambarkan sebagai seorang yang pemurah
kerana sangguh membiayai persekolahan Muliati. Beliau sangat mengambil berat terhadap Muliati dan
menjalin hubungan yang akrab dengan Muliati hampir 7 tahun. Cikgu Balkis telah berumahtangga
selama 5 tahun namun belum dikurniakan cahaya mata. Berkat beliau mengasihi anak yatim, iaitu
Muliati akhirnya Cikgu Balkis telah memperoleh seorang anak. Walau bagaimanapun, hubungannya
dengan Muliati semakin terbatas selepas itu dengan alasan suaminya mahu beliau memberi tumpuan
kepada anaknya sendiri. Akhirnya, melalui poskad yang dikirim oleh Cikgu Balkis, menyatakan bahawa
beliau kini sedang berada di London untuk menjalani pembedahan penyakit ganjil yang dihidapinya.

NENEK
Nenek digambarkan sebagai seorang yang sudah tua dan tinggal sebatang kara. Nenek juga
ialah seorang yang miskin namun rajin berusaha untuk menyara cucunya, Muliati. Nenek sangat sayang
dan sentiasa mengambil berat terhadap cucunya. Nenek juga sentiasa memberi dorongan dan nasihat
kepada Muliati agar tabahkan hati dan jangan terlalu memikirkan Cikgu Balkis.

RIANI
Riani ialah kawan baik kepada Muliati yang bersama-sama menuntut di universiti. Dia seorang
yang baik hati dan sentiasa memujuk Muliati supaya banyakan sabar dalam menghadapi dugaan.

5.0 PLOT

Plot cerpen ini bersifat kronologi, iaitu peristiwa demi peristiwa disusun mengikut urutan
waktu. Plot bermula dengan pengenalan watak Muliati yang sangat merindui Cikgu Balkis kerana sudah
lama tidak berjumpa. Plot cerita berkembang dengan Muliati yang sangat ingin bertemu dengan
gurunya tetapi dia tidak dibenarkan berbuat demikian kononnya suami Cikgu Balkis tidak
membenarkan. Muliati amat kecewa apabila mendapat tahu bahawa Cikgu Balkis telah merubah hati.
Muliati mengalami konflik jiwa apabila mengenangkan kemalangan yang telah menyebabkan dia
menjadi cacat akibat terjatuh ke dalam gaung semasa menyertai ekspedisi kelab kembara. Konflik jiwa
Muliati menjadi lebih hebat apabila terkenang akan tragedi yang telah meragut jiwa kedua-dua ibu
bapa dan tiga orang adiknya.
Plot menuju klimaks apabila Muliati menerima sepucuk poskad daripada Cikgu Balkis yang
menyatakan bahawa beliau sekarang berada di London kerana sedang menjalani rawatan penyakit ganjil
yang dihidapinya.
Peleraian cerpen adalah jelas apabila segala persoalan Muliati telah terjawab iaitu keengganan
Cikgu Balkis berjumpa dengan Muliati adalah kerana ingin merahsiakan penyakit ganjil yang
dihidapinya.
Secara keseluruhannya, pengarang telah berjaya menjalinkan plot cerpen ini dengan baik.
Pengarang banyak menggunakan teknik imbas kembali. Di samping itu, pengarang juga bijak
menggunakan teknik monolog dalaman untuk menggambarkan pergolakan jiwa yang dialami oleh Muliati.
42

6.0 SUDUT PANDANGAN

Pengarang menggunakan sudut pandangan orang pertama iaitu pengarang telah menggunakan
kata ganti nama “aku”. Hal ini bermaksud pengarang berada di dalam cerita dan berperanan sebagai
watak utama.

7.0 NILAI-NILAI MURNI

i. Nilai kasih sayang, contohnya Muliati yang dahagakan kasih sayang telah mendapat
kasih sayang daripada neneknya dan Cikgu Balkis.
ii. Nilai gigih, contohnya Muliati, walaupun dia cacat tetapi berkat kegigihannya dia
telah berjaya mendapat ijazah.
iii. Nilai simpati, contohnya Cikgu Balkis yang bersimpati terhadap Muliati yang bernasib
malang telah menjadikan Muliati sebagai anak angkatnya.
iv. Nilai tolong-menolong, Cikgu Balkis banyak menolong Muliati setelah kedua-dua ibu
bapa Muliati meninggal dunia.
v. Nilai murah hati, contohnya Cikgu Balkis yang murah hati sanggup menanggung
perbelanjaan persekolahan Muliati.
vi. Nilai hormat-menghormati, contohnya Muliati sangat menghormati Cikgu Balkis.
vii. Nilai taat, contohnya Cikgu Balkis yang taat kepada kehendak suami yang melarang
beliau daripada berjumpa dengan Muliati.
viii. Nilai tabah, contohnya Muliati tabah mengharungi kehidupan sebagai seorang
mahasiswa dalam keadaan yang serba kekurangan.

8.0 AMANAT & PENGAJARAN

i. Kita hendaklah sayang menyayangi sesama insan. Contohnya, Cikgu menyayangi Muliati sama
seperti menyayangi anaknya sendiri.
ii. Kita hendaklah gigih berusaha untuk mencapai cita-cita kita. Contohnya, Muliati, walaupun dia
cacat tetapi berkat kegigihannya, akhirnya dia berjaya mendapat ijazah.
iii. Kita hendaklah menaruh perasaan simpati terhadap seseorang yang ditimpa kesusahan.
Contohnya, Cikgu Balkis yang berasa simpati terhadap Muliati telah menjadikan Muliati
sebagai anak angkatnya.
iv. Kita hendaklah tolong-menolong antara satu sama lain, lebih-lebih lagi kepada yang
memerlukan pertolongan. Contohnya, Cikgu Balkis telah banyak menolong Muliati sejak kedua-
dua ibu bapanya meninggal dunia.
v. Kita hendaklah menghormati orang yang lebih tua daripada kita. Contohnya, Muliati sangat
menghormati Cikgu Balkis.
vi. Sebagai seorang isteri, hendaklah taat kepada suami. Contohnya, Cikgu Balkis sangat taat
kepada suaminya dengan mematuhi kehendak suaminya yang melarangnya berjumpa dengan
Muliati.
vii. Kita hendaklah tabah menghadapi dugaan dan cabaran hidup tanpa mudah putus asa.
Contohnya, Muliati yang tabah mengharungi kehidupan sebagai mahasiswa dalam keadaan
serba kekurangan akhirnya telah berjaya mendapat ijazah.
viii. Kita jangan mengamalkan sikap dengki terhadap seseorang. Contohnya, pelajar-pelajar lain
tidak sepatutnya berasa dengki terhadap Muliati yang telah cacat dengan menuduhnya
sebagai anak emas Cikgu Balkis.
43

9.0 SUDUT PANDANGAN


Pengarang telah menggunakan sudut pandangan orang pertama dalam mengarang cerpen ini.
Hal ini kerana pengarang menggunakan kata ganti nama “aku”.

10.0 TEKNIK PENCERITAAN


i. Dialog
ii. Pemerian
iii. Imbas kembali
iv. Monolog

11.0 GAYA BAHASA


i. Personifikasi

Hati yang rajuk kian dimamah kecewa


Hati ini selalu memberontak

ii. Metafora

Lurah ketewasan
Api kerinduan
Tinta-tinta harapan
Pulau perhentian

iii. Hiperbola

Semangat seakan-akan luruh ( m/s 61)


Kasihku tertumpah melebihi selautan buat cikgu (m/s 61)
Aku sudah hampir separuh mati (m/s 66)

iv. Sinkof

tak, nak

v. simpulan bahasa

Anak emas
Sebatang kara
Ringan tulang

vi. penggunaan bahasa Arab

Kamil, syukur, Alhamdulillah,


Firman, Ya Allah, bertawakal.
44

vii. Simile

Bagai seorang kelasi yang diletihkan oleh ribuan pelayaran

ANNYSS SOPHILLEA

0.0 SINOPSIS

Cerpen ini mengisahkan Annyss Sophillea yang berasal dari planet Alstonia telah mengembara
hingga ke bumi dalam usahanya mencari saudara kembar yang bernama Eyrique Etiqaz.
Semasa di bumi Annyss telah bersahabat dengan Akmal. Saudara kembarnya itu sepatutnya
menaiki takhta di Alstonia menggantikan bapa saudaranya yang memangku sebagai pemerintah
selepas kematian bapa mereka. Strenn, sepupu mereka telah menculik Eyrique dengan harapan
dia dapat menjadi pemerintah Alstonia. Setelah gagal mencari saudaranya di bumi, Annyss
Sophillea kembali semula ke Alstonia dengan menunggang eustary. Sebelum kembali ke
Alstonia, Annyss Sophillea telah memberi kalung kepada Akmal sebagai kenangan. Kemudian,
Annyss Sophillea telah pergi ke pinggir Rimba Besar Alstonia dengan menunggang burung
Inderawasih. Di sana, Annyss Sophillea telah berjumpa dengan Akmal. Annyss dan Akmal
telah berjaya menemukan Eyrique yang dikurung di dalam terowong. Dalam usaha
menyelamatkan Eyrique, mereka terpaksa berhadapan dengan Strenn dan konco-konconya.
Dalam pertarungan itu, Akmal berjaya membunuh Strenn. Walau bagaimanapun, mengikut
tradisi di Alstonia seseorang yang membunuh turut akan menerima nasib yang sama. Annyss
dan Eyrique berusaha untuk menyelamatkan Akmal.

1.0 PLOT

Plot cerpen ini disusun secara kronologi, iaitu peristiwa demi peristiwa disusun mengikut
urutan waktu. Pada bahagian eksposisi, plotnya bermula dengan pengembaraan Annyss
Sophillea ke bumi untuk mencari saudara kembarnya yang hilang. Di bumi Annyss telah
berkenalan dengan Akmal. setelah usahanya gagal Annyss telah kembali semula ke planet
Alstonia. Di Alstonia, Annyss telah menziarahi pusara ayah dan ibunya. Plot terus berkembang
dengan kehadiran Strenn yang telah menimbulkan konflik iaitu tentang perebutan takhta di
Alstonia. Strenn telah merampas kuasa dan telah menculik Eyrique. Strenn berusaha memujuk
Annyss supaya menjadi isterinya, tetapi Annyss menolak. Sebaliknya, Annyss Sophilea
mengatakan bahawa dia telah menemui Eyrique dan akan membawanya ke istana. Pada
bahagian perkembangan plot ini, pengarang telah menggunakan teknik imbas kembali iaitu
semasa Annyss terkenang akan waktu zaman kanak-kanaknya bersama dengan Eyrique. Plot
menjadi semakin menarik apabila Annyss akhirnya telah berjumpa dengan Eyrique. Plot menuju
ke arah klimaks apabila berlaku bertarungan yang hebat Annyss, Eyrique dan Akmal dengan
Strenn iaitu akhirnya Strenn berjaya dibunuh oleh Akmal. Pada peleraian cerita ini, Annyss
dan Eyrique berusaha untuk menyelamatkan Akmal.

3.0 TEMA
Cerpen ini bertemakan PENGORBANAN, iaitu tentang pengorbanan Annyss Sophillea dalam
usaha mencari saudara kembarnya sanggup menghadapi apa jua rintangan. Demikian juga
dengan pengorbanan seorang sahabat iaitu Akmal yang sanggup mengorbankan nyawanya
sendiri semata-mata untuk menyelamatkan sahabatnya iaitu Annyss Sophillea dan Eyrique
daripada Strenn.
45

4.0 PERSOALAN

i. Persoalan tentang persahabatan


ii. Persoalan tentang kasih sayang
iii. Persoalan tentang perjuangan menuntut hak

5.0 WATAK & PERWATAKAN

ANNYSS SOPHILLEA

Merupakan watak utama. Berasal dari planet Alstonia dan merupakan saudara kembar kepada
Eyrique Etiqaz serta sepupu kepada Strenn. Ibu dan bapanya telah meninggal dunia. Annyss Sophillea
digambarkan sebagai seorang gadis yang lemah lembut. Walau bagaimanapun dia seorang yang tegas,
hal ini dapat dilihat melalui tindakannya yang menolak pujukan Strenn yang ingin memperisterikannya.
Annyss Sophillea juga seorang yang berani dan tabah iaitu dia sanggup mengembara sehingga ke bumi
dalam usahanya mencari saudara kembarnya. Annyss Sophillea juga digambarkan seorang yang tidak
mudah putus asa, iaitu dia mencari saudara kembarnya sehingga berjumpa.

STRENN
Merupakan sepupu kepada Annyss Sophillea dan Eyrique Etiqaz. Strenn merupakan watak
antagonis, dia kejam dan tamak kerana sanggup merampas kuasa dan menculik Eyrique Etiqaz.
Akhirnya Strenn mati akibat ditembak oleh Akmal.

AKMAL
Seorang pemuda yang berasal dari bumi. Sabahat kepada Annyss Sophillea. Seorang yang
jujur dan ikhlas dalam persahabatan. Akmal ialah seorang yang berani, iaitu dia berani ke planet
Alstonia seorang diri. Akmal ialah seorang sahabat yang sanggup mengorbankan nyawa demi
keselamatan sahabatnya.

EYRIQUE ETIQAZ
Merupakan saudara kembar kepada Annyss Sophillea dan pewaris takhta kerajaan Alstonia.
Dia telah diculik oleh Strenn.

6.0 LATAR

LATAR TEMPAT
Latar tempat dalam cerpen ini adalah di bumi dan di Alstonia. Antara tempat yang terdapat di
Alstonia adalah di pusara ayah dan ibu Annyss Sophillea, di pinggir Rimba Besar Alstonia, di dalam
terowong rahsia dan di bilik kurungan.

LATAR MASA
Latar masa tidak dinyatakan dengan khusus. Semua peristiwa berlaku pada waktu siang dan
malam.

LATAR MASYARAKAT
Latar masyarakat yang digambarkan dalam cerpen ini melibatkan masyarakat bumi dan
masyarakat planet Alstonia. Masyarakat Alstonia digambarkan memiliki kesaktian iaitu Annyss
Sophillea dapat memanggil eustary dan burung Inderawasih untuk membawanya ke sesuatu tempat.
Selain itu, terdapat juga masyarakat yang kejam dan tamak iaitu Strenn yang merampas kuasa dan
menculik Eyrique Etiqaz. Di samping itu, di planet Alstonia, sesiapa yang membunuh akan mati
bersama-sama dengan orang yang dibunuh.
46

7.0 SUDUT PANDANGAN


Pengarang menggunakan sudut pandangan orang ketiga terbatas, iaitu pengarang berada di luar
lingkaran cerita. Pengarang hanya menggambarkan secara mendalam keadaan fizikal, perasaan dan
fikiran Annyss Sophillea. Sementara watak-watak lain pengarang hanya menggambarkan secara
sepintas lalu sahaja.

8.0 NILAI
i. Nilai kasih sayang
Contohnya, Annyss Sophillea sangat sayang akan saudara kembar sanggup mengembara
sehingga ke bumi semata-mata untuk mencarinya.
ii. Nilai keberanian
Contohnya, Annyss Sophillea yang berani mengembara sehingga ke bumi seorang diri dalam
usahanya mencari saudara kembarnya yang hilang.
iii. Nilai kerjasama
Contohnya, Akmal yang pergi ke Alstonia untuk menolong Annyss Sophillea mencari saudara
kembarnya yang hilang.
iv. Nilai rasional
Contohnya, Strenn yang bertindak tidak rasional menculik dan mengurung Eyrique kerana ingin
merampas takhta kepunyaan Eyrique.
v. Nilai gigih
Contohnya, Annyss Sophillea yang gigih berusaha mencari saudara kembarnya tanpa mengenal
erti putus asa.
vi. Nilai amanah
Contohnya, Annyss Sophillea berusaha mencari saudara kembarnya bagi menunaikan wasiat
bondanya supaya mencari Eyrique.

9.0 AMANAT & PENGAJARAN

1. Kita hendaklah menyayangi ahli keluarga kita


Contohnya, Annyss Sophillea sanggup mengembara sehingga ke bumi untuk mencari saudara
kembarnya yang telah hilang.
2. Kita hendaklah berani menghadapi cabaran dan dugaan jika ingin berjaya
Contohnya, Annyss Sophillea yang berani menghadapi cabaran dan dugaan, akhirnya berjaya
menemukan saudara kembarnya.
3. Kita hendaklah tolong-menolong antara satu sama lain lebih-lebih lagi kepada yang
memerlukan pertolongan
Contohnya, Akmal yang telah menolong Annyss Sophillea mencari saudara kembarnya.
4. Kita hendaklah bertindak secara rasional bukannya mengikut perasaan
Contohnya, Strenn yang bertindak secara tidak rasional akibat tamak telah menculik dan
mengurung Eyrique akhirnya telah mati.
5. Kita hendaklah gigih dalam melakukan sesuatu jika ingin peroleh kejayaan
Contohnya, berkat kegigihan Annyss Sophillea telah berjaya menemukan saudara kembarnya
yang hilang itu.
6. Kita hendaklah menunaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kita
Contohnya, Annyss Sophillea menunaikan wasiat ibunya dengan mencari Eyrique yang hilang.
47

KERANA MANISNYA EPAL

1.0 SINOPSIS

Cerpen ini mengisahkan kecekalan Buchanan dalam mengusahakan kebun epal dan mempertahankan
kebun itu daripada diambil oleh pihak berkuasa. Buchanan mengusahakan kebun epal di Tsolum River
Fruit Trees. Kebun itu sangat bermakna bagi Buchanan dan sangat disayangi oleh mendiang isterinya.
Di kebun epalnya itu terdapat hampir 200 jenis epal. Buchanan telah dibantu oleh dua orang anak
angkatnya iaitu Mazlina, (pelajar Universiti Richmond dalam jurusan Kesusasteraan Inggeris iaitu
anak Tan Sri Mansur) dan Yvonne Zakharov Rosenblum (berasal dari Moscow yang mengambil fellow
dalam bidang Ekologi) Buchanan mempunyai 5 orang anak, walau bagaimanapun tidak seorangpun
daripada anaknya itu yang menghargainya apatah lagi menolongnya mengusahakan kebun epal itu. Pada
suatu hari Buchanan menerima sepucuk surat daripada pihak Gabenor yang telah menolak rayuan. Pihak
Gabenor mahu mengambil kebun epalnya untuk dijadikan lapangan terbang tentera. Buchanan berasa
sangat kecewa lalu mengurung diri di dalam bilik serta tidak mahu makan. Keadaan ini meresahkan
Mazlina dan Yvonne. Pada keesokan harinya, pihak Jabatan Tanah British Columbia dan pihak tentera
telah datang untuk mengambil kebun epal tersebut. Yvonne dan Mazlina mencuba mempertahankannya
walaupun telah diugut akan ditangkap malah Yvonne bertindak berani mengarahkan Mazlina mengambil
senapang untuk menentang pihak kerajaan. Tetapi, akhirnya Buchanan telah pulang bersama dengan
Gabenor dan menyatakan bahawa Gabenor telah menerima rayuan mereka kerana manisnya epal.

1.2 TEMA & PERSOALAN

Tema cerpen ini adalah tentang PERJUANGAN iaitu perjuangan mempertahankan hak dan maruah diri.
Manakala persoalannya pula adalah tentang integrasi sejagat tanpa mengira sempadan bangsa, agama
dan budaya.

1.3 PLOT

Plot cerpen ini bersifat kronologi iaitu peristiwa-peristiwa yang berlaku disusun mengikut urutan
waktu. Pada bahagian eksposisi pengarang memperkenalkan latar tempat iaitu di kebun epal. Pengarang
juga memperkenalkan watak Buchanan dan Mazlina yang hendak ke kebun epal untuk memetik buah
epal. Pengarang mengembangkan plotnya, dengan menceritakan Buchanan telah mengusahakan kebun
epalnya tanpa bantuan daripada kelima-lima orang anaknya. Sebaliknya Buchanan dibantu oleh dua
orang anak angkatnya iaitu Mazlina dan Yvonne. Plot terus berkembang dengan pelbagai konflik yang
dihadapi Buchanan dalam mengusahakan kebun epalnya. Melalui teknik imbas kembali, pengarang
memaparkan sikap anak-anak Buchanan yang memandang rendah dan tidak menghagai usaha Buchanan
mempertahankan kebun epalnya. Bahkan anak-anaknya turut menyisihkannya. Konflik menjadi semakin
genting apabila Buchanan menerima sepucuk surat daripada Gabenor yang menolak rayuannya dan
tetap ingin mengambil kebun epalnya untuk dibina lapangan terbang tentera. Plot menuju puncak atau
klimaks apabila Yvonne dan Mazlina yang berhadapan dengan orang-orang Jabatan Tanah British
Columbia. Plot mencapai klimaks apabila Yvonne sanggup bergadai nyawa dan hendak menggunakan
senjata dalam mempertahan kebun epal tersebut. Peleraian plotnya, apabila Buchanan pulang bersama
dengan Gabenor British Columbia dengan menyatakan bahawa rayuannya telah diterima. Pengarang
telah berjaya mengolah plot cerpen ini dengan baik dengan menggunakan teknik saspen iaitu pembaca
tertanya-tanya; ke manakah Buchanan menghilangkan diri? Berjayakah Buchanan mempertahankan
kebun epal itu ? cerpen ini menjadi lebih menarik apabila pengarang berjaya menimbulkan kejutan
apabila Buchanan pulang bersama-sama dengan Gabenor.
48

1.4 WATAK & PERWATAKAN

BUCHANAN
Buchanan merupakan watak utama dalam cerpen ini. Buchanan berusia 81 tahun dan telah kematian
isteri 20 tahun yang lalu. Buchanan mempunyai 5 orang anak tetapi kelima-lima anaknya itu tidak
mempedulikannya. Buchanan tinggal bersama dua orang anak angkatnya iaitu Mazlina dan Yvonne. Ia
seorang yang gigih dan cekal, iaitu mengusahakan kebun epalnya tanpa bantuan anak-anaknya. Buchanan
juga seorang yang amanah, buktinya dia berusaha menunaikan wasiat arwah isterinya supaya kebun
epal itu dijaga dengan baik. Buchanan juga digambarkan sebagai seorang yang bijak iaitu berjumpa
dengan Gabenor dengan membawa buah epal yang manis dalam usaha menyelamatkan kebun epalnya.
Buchanan digambarkan sebagai seorang yang keras kepala dan sukar dipujuk. Dengan kata lain dia
seorang yang berpendirian teguh.

MAZLINA
Mazlina ialah anak gadis Tan Sri Mansur dan berusia 22 tahun. Mazlina merupakan gadis Melayu yang
berasal dari Malaysia dan kini menuntut di Universiti Richmond dalam jurusan kesusasteraan Inggeris.
Mazlina telah menjadi anak angkat kepada Buchanan. Mazlina digambarkan sebagai seorang yang rajin
dan bertanggungjawab iaitu dia banyak membantu Buchanan memetik buah epal. Mazlina ialah seorang
yang mudah bersimpati dan prihatin dengan masalah yang menimpa bapa angkat. Mazlina juga seorang
yang berani iaitu semasa menghalang pihak Kerajaan British Columbia daripada mengambil kebun epal
tersebut.

YVONNE
Yvonne merupakan seorang pelajar dari Moscow dan pelajar fellow dalam bidang ekologi. Yvonne ialah
anak angkat kepada Buchanan. Dia juga seorang berani iaitu semasa menghalang pihak kerajaan British
Columbia. Yvonne juga gemar bersolek.

1.5 TEKNIK PENCERITAAN


Pengarang telah menggunakan teknik pemerian, teknik dialog

1.6 GAYA BAHASA

I. Diksi
Dari segi pemilihan kata pengarang banyak menggunakan bahasa Inggeris. Hal ini adalah
sesuai dengan latar tempat yang berlaku di luar negara.

II. Simile

Bagaikan kaca terhempas ke batu lalu berderai kecil

III. Personifikasi

Pandangan matanya menjilat kebun epal tersebut di kejauhan

IV. Hiperbola

Seribu tanda tanya menjajahi serebrumnya


49

V. Metafora

Samudera hampa

1.7 NILAI
1) Nilai amanah
Contohnya, Buchanan ialah seorang yang amanah, iaitu dia berusaha menunaikan wasiat
isterinya supaya menjaga kebun epal itu dengan baik.
2) Nilai berani
Contohnya, Yvonne dan Mazlina berani menghalang orang dari Jabatan Tanah British Columbia
daripada merampas kebun epal tersebut.
3) Nilai simpati
Contohnya, Yvonne dan Mazlina berasa sangat simpati kepada Buchanan kerana tidak
dipedulikan oleh anak-anaknya.
4) Nilai gigih
Contohnya, Buchanan walaupun telah berusia 81 tahun tetapi masih gigih mengusahakan kebun
epal tersebut tanpa bantuan daripada anak-anaknya.
5) Nilai hormat-menghormati
Contohnya, Buchanan, Mazlina dan Yvonne saling menghormati antara satu sama lain walaupun
mereka berlainan agama, bangsa dan budaya.
6) Nilai kebijaksanaan
Contohnya, Buchanan menggunakan kebijaksanaannya dengan membawa buah epal yang manis
kepada Gabenor, akhirnya Gabenor membatalkan arahan pengambilan kebun epal tersebut.

1.8 AMANAT & PENGAJARAN


I. Kita hendaklah bersikap amanah/menepati janji lebih-lebih lagi jika amanat itu berupa wasiat.
Contohnya, Buchanan yang bersikap amanah menjaga kebu epal tersebut sebagaimana yang
diwasiatkan oleh isterinya.
II. Kita hendaklah berani menghadapi cabaran dan dugaan jika ingin memperoleh kejayaan.
Contohnya, Yvonne yang berani bergadai nyawanya semata-mata untuk mempertahankan
kebun epal tersebut.
III. Kita hendaklah bantu membantu antara satu sama lain.
Contohnya, Mazlina dan Yvonne membantu Buchanan memetik buah epal.
IV. Kita hendaklah menggunakan kebijaksanaan untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul.
Contohnya, Buchanan menggunakan kebijaksanaannya untuk memujuk Gabenor dengan
membawa epal yang manis telah berjaya mengubah pendirian Gabenor.
V. Kita hendaklah hendaklah menaruh perasaan simpati terhadap seseorang yang ditimpa
kesusahan.
Contohnya, Mazlina berasa simpati terhadap nasib yang dialami oleh Buchanan yang tidak
dipedulikan anak-anaknya.
VI. Kita hendaklah gigih berusaha jika ingin berjaya dalam sesuatu perkara yang diceburi.
Contohnya, Buchanan gigih mengusahakan kebun epalnya walaupun tidak dibantu oleh anak-
anaknya.
VII. Kita hendaklah tabah dan sabar mengharungi cabaran dan dugaan hidup.
Contohnya, Buchanan yang tabah dan sabar menghadapi cabaran dan dugaan akhirnya berjaya
dalam usaha mempertahankan kebun epalnya daripada diambil oleh pihak Gabenor.
50

LAMBAIAN MALAR HIJAU

1.0 SINOPSIS

Cerpen ini mengisahkan Daneng, anak orang asli yang tinggal di perkampungan orang asli di Lembah
Tualang. Daneng enggan meneruskan persekolahannya walaupun memperoleh keputusan yang cemerlang
dalam peperiksaan PMR. Sudah enam bulan Daneng tidak bersekolah selepas kembali ke
perkampungannya. Cikgu seorang guru yang bertanggungjawab telah pergi ke perkampungan Daneng di
Lembah Tualang untuk memujuk Daneng supaya kembali bersekolah. Daneng berkeras tidak mahu
bersekolah kerana ingin mempertahankan warisan nenek moyangnya. Daneng enggan berpisah dengan
hutan belantara yang kini diancam oleh aktiviti pembalakan yang telah banyak memusnahkan flora dan
fauna di situ. Cikgu Jo tidak berputus asa dan terus memujuk Daneng agar meneruskan
persekolahannya kerana hanya dengan ilmu pengetahuan barulah Daneng berupaya mempertahankan
hutan dan nasib suku kaumnya. Akhirnya, Daneng mengubah fikirannya lalu mengikut Cikgu kembali ke
sekolah. Setelah 25 tahun berlalu, banyak kejayaan telah dikecapi oleh Daneng. Daneng telah bergelar
Datuk dan telah menerima Hadiah Nobel kerana usahanya memulihara dan menyelamatkan hutan
belantara. Malaysia telah diiktiraf sebagai sebuah negara yang memiliki hutan tropika yang terbesar
di dunia. Malah, Daneng juga telah dijemput oleh kerajaan Brazil untuk membantu memulihara hutan di
Lembangan Amazon.

2.0 TEMA
Cinta akan alam sekitar

3.0 PERSOALAN
 Persoalan tentang kepentingan ilmu pengetahuan
 Persoalan tentang kepupusan hutan belantara
 Persoalan tentang kemunduran masyarakat orang asli
 Persoalan tentang kegigihan dan tanggungjawab seorang guru
 Persoalan tentang kegiatan pembalakan haram

4.0 PLOT

Plot cerpen ini disusun tidak secara kronologi iaitu peristiwa demi peristiwa disusun
tidak mengikut urutan waktu. Pada bahagian eksposisi, pengarang telah menggambarkan latar
tempat dan memperkenalkan watak utama. Pada tahun 2020 Daneng telah membawa Cikgu Jo
pulang ke Kampung Tualang. Daneng yang memerhatikan pohon tualang yang megah berdiri
sebelum kelahirannya, telah membawa kenangan kepada zaman 25 tahun yang lalu.
Pada bahagian perkembangan plot, dimulakan dengan Cikgu Jo yang telah pergi ke
perkampungan asli untuk berjumpa dengan Daneng. Sewaktu memancing di Danau Nyok Cikgu
Jo telah mengambail kesempatan itu untuk memujuk Daneng supaya kembali bersekolah
setelah ditinggalkannya selama 6 bulan. Daneng menegaskan bahawa dia tidak mahu
bersekolah lagi kerana kehidupannya sudah sebati dengan hutan belantara dan dia ingin terus
tinggal di hutan itu untuk mempertahankan warisan nenek moyangnya. Sebaliknya, Cikgu Jo
menasihati Daneng supaya menggunakan ilmu pengetahuan untuk membantu keluarga dan suku
kaumnya. Cikgu Jo menegaskan Daneng harus meneruskan persekolahannya jika ia benar-
benar sayang akan hutan belantara yang kian diancam kepupusan akibat pembalakan. Hanya
dengan ilmu pengetahuan yang membolehkan Daneng menjadi pegawai perhutanan negara
untuk melaksanakan rancangan yang lebih agresif untuk membanteras kegiatan pembalakan.
Pada bahagian klimaksnya, Daneng telah mengubah fikirannya dan bersetuju untuk
mengikut Cikgu Jo kembali ke sekolah.
51

Bahagian peleraiannya, pada tahun 2020 Daneng dan Cikgu Jo telah kembali semula
ke Lembah Tualang setelah Daneng berjaya menerima Hadiah Nobel kerana usahanya
memulihara, memelihara dan menambah kawasan hutan di negara ini. Daneng juga telah
dianugerahi gelaran ‘Datuk’ malah telah dijemput oleh kerajaan Brazil untuk membantu
memulihara kawasan hutan Lembangan Amazon di Brazil.

5.0 WATAK & PERWATAKAN


Daneng
 Watak utama
 Anak orang asli yang tinggal di Lembah Tualang
 Berambut kerinting, berotot kental dan berstamina tinggi.
 Bekas murid Cikgu Jo
 Seorang pelajar yang bijak iaitu mencapai keputusan yang cemerlang dalam PMR.
 Sangat petah berhujah
 Berpendirian tegas
 Sangat menghormati Cikgu Jo
 Bersikap merendah diri
 Mengenang jasa
 Sangat cinta akan alam sekitar
 Menerima Hadiah Nobel atas usahanya memelihara, memulihara dan menambahkan kawasan
hutan.
 Mendapat gelaran ‘Datuk’.

Cikgu Jo
 Watak sampingan
 Bekas guru kepada Daneng
 Bertubuh cengkung dan sudah tua.
 Sorang guru yang dedikasi, bertanggungjawab, prihatin dan gigih
 Seorang yang berpandangan jauh.

6.0 LATAR
Latar Tempat
 Di perkampungan orang asli di Lembah Tualang.
 Di Danau Nyok
 Di rumah Daneng

Latar Masa
 Pada masa kini iaitu dalam jangka masa 25 tahun sehingga tahun 2020.
 Pada waktu pagi dan malam

Latar Masyarakat
 Masyarakat orang asli yang tinggal di Lembah Tualang.
 Masyarakat yang miskin
 Masyarakat yang hidup bergantung kepada pencarian hasil hutan
 Masyarakat yang sangat mencintai alam sekitar
 Masyarakat guru yang dedikasi, gigih dan bertanggungjawab.
 Masyarakat yang mementingkan pelajaran.
52

7.0 NILAI-NILAI MURNI


 Nilai gigih
Contohnya, Cikgu Jo seorang guru yang gigih kerana sanggup bersusah payah ke perkampungan
orang asli semata-mata untuk memujuk Daneng supaya kembali bersekolah.
 Nilai mengenang jasa
Contohnya, Daneng yang telah berjaya dalam hidup tetap mengenang jasa Cikgu Jo.
 Nilai rendah diri
Contohnya, walaupun Daneng telah bergelar ‘Datuk’ tetapi dia tetap bersikap rendah diri
dengan gurunya. Daneng tidak mahu Cikgu Jo memanggilnya ‘Datuk’.
 Nilai cinta akan alam sekitar
Contohnya, Daneng yang sangat cinta akan alam sekitar telah berusaha memulihara,
memelihara hutan sehingga mendapat anugerah Hadiah Nobel atas usahanya itu.
 Nilai murah hati
Contohnya, ibu Daneng walaupun hidup dalam kemiskinan tetapi masih murah hati untuk
memberi petai kepada Cikgu jo sebagai buah tangan.
 Nilai hormat-menghormati
Contohnya, Daneng sangat menghormati Cikgu Jo, tidak mahu Cikgu Jo memanggilnya ‘Datuk’.

8.0 AMANAT & PENGAJARAN

 Kita hendaklah mengenang jasa guru yang telah banyak berbakti dan mencurahkan ilmu
kepada kita.
Contohnya, Daneng telah tidak lupa akan jasa Cikgu Jo walaupun dia telah berjaya
memperoleh gelaran ‘Datuk’.
 Kita hendaklah sayang akan alam sekitar
Contohnya, Daneng sangat sayang akan hutan belantara telah berusaha untuk menyelamatkan
hutan belantara daripada kepupusan akibat pembalakan.
 Kita hendaklah gigih belajar jika ingin berjaya dalam hidup.
Contohnya, Daneng yang gigih belajar akhirnya telah berjaya dalam hidup.
 Kita hendaklah berfikir masak-masak sebelum membuat sesuatu keputusan yang melibatkan
masa depan kita.
Contohnya, Daneng yang telah mengubah fikirannya untuk kembali semula bersekolah.
 Kita hendaklah bersikap rendah diri supaya disenangi orang.
Contohnya, Daneng yang telah bergelar ‘Datuk’ tetap merendah diri dengan bekas gurunya,
Cikgu Jo.
 Kita hendaklah menghormati guru.
Contohnya, Daneng sangat menghormati Cikgu Jo, tidak mahu Cikgu Jo memanggilnya ‘Datuk’.
 Sebagai seorang guru haruslah dedikasi dan bertanggungjawab terhadap tugas.
Contohnya, Cikgu Jo sanggup ke perkampungan orang asli di Lembah Tualang semata-mata
untuk memujuk Daneng supaya kembali bersekolah.

9.0 GAYA BAHASA


i. Simile
Seperti air danau
Seperti seekor rerama

ii. Personifikasi

Pandangan matanya menangkap kesederhanaan isi pondok


53

iii. Metafora

Rantai keresahan
Manik-manik peluh
Titisan kegelisahan
iv. Retoris

Patutkah aku mengganggu ketenteramannya ? Merampas kebebasannya ?


Memaksanya melakukan apa yang aku fikirkan betul ?

v. Repitasi

Tidak ada soal tidak cukup duit ! Tidak cukup masa ! Tidak puas dengan kejayaan
dalam karier !

PUSARAN

1.0 SINOPSIS

Cerpen ini mengisahkan keakraban hubungan Junid dengan Pusaran iaitu seekor anak
lembu jantan. Hubungan Junid dengan Pusaran tidak dapat dipisahkan, boleh dikatakan
sebahagian besar masa Junid dihabiskan bersama dengan Pusaran. Jika Pusaran sakit Junid
ikut sakit. Perhubungan yang sangat unik antara Junid dan Pusaran telah menimbulkan
pelbagai tanggapan masyarakat. Seorang bomoh yang bernama Pak Cik Kar mengatakan
bahawa Pusaran ialah kembar Junid. Mohsin yang terpengaruh dengan kata-kata bomoh buta
itu cuba untuk memisahkan Junid dengan Pusaran, iaitu menghantar Junid ke sekolah dengan
harapan masa untuk Junid bersama Pusaran akan berkurangan. Namun harapan itu tidak
menjadi kenyataan. Perhubungan Junid dengan Pusaran tetap akrab. Oleh hal yang demikian,
Mohsin telah mengambil keputusan untuk menjual Pusaran kepada Tuan Haji Subki untuk
dijadikan korban sempena Hari Raya Korban. Sekembalinya, Junid dari sekolah dia mendapati
Pusaran telah tiada lalu mencari Pusaran tanpa mengendahkan kata-kata emaknya. Akhirnya,
Junid tiba di suatu kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai. Junid melihat Pusaran yang
direbahkan untuk disembelih terus meluru memeluk Pusaran sambil meminta supaya dirinya
turut disembelih. Tuan Haji Subki terpaksa membatalkan niat untuk menyembelih Pusaran.
Malah, beliau turut menegur sikap Mohsin yang membuat keputusan sendiri tanpa berbincang
terlebih dahulu dengan Junid. Mohsin berjanji tidak akan memisahkan Junid dengan Pusaran
lagi.

2.0 TEMA
Tema cerpen ini adalah tentang KASIH SAYANG iaitu kasih sayang antara manusia dengan
binatang kesayangannya.

3.0 PERSOALAN
 Kepercayaan karut di kalangan masyarakat
 Kesedaran masyarakat terhadap pendidikan
 Kasih sayang ibu bapa
 Amalan hidup bermasyarakat
54

4.0 PLOT
Plot cerpen ini disusun secara kronologi. Pada bahagian eksposisi pengarang
memperkenalkan watak Junid dan Pusaran. Pusaran adalah seekor anak lembu yang kematian
ibunya. Hubungan Junid dengan Pusaran sangat akrab. Junid banyak menghabiskan masa
bersama-sama dengan Pusaran.
Pada peringkat perkembangan plot, konflik mula timbul dalam diri Mohsin iaitu ayah
Junid yang risau apabila mendengar kata-kata seorang bomoh buta yang bernama Pak Cik Kar
yang berpendapat bahawa Junid dan Pusaran adalah kembar. Beberapa kejadian telah
membuktikan bahawa terdapat pertalian emosi antara Junid dengan Pusaran. Misalnya, jika
Pusaran sakit, kesihatan Junid juga terganggu. Mohsin pernah cuba memisahkan
Junid dengan Pusaran dengan menghantar Junid ke rumah datuknya di Kampung Ulu. Walau
bagaimanapun, Junid selalu merusuh, demam-demam dan tidak lalu makan. Perkara yang sama
juga menimpa Pusaran. Mohsin berharap apabila Junid telah bersekolah, dia akan melupakan
Pusaran. Pada suatu malam Junid terdengar perbualan antara ayahnya dengan beberapa orang
tetamu tentang Pusaran yang amat membimbangkan Junid. Sekembalinya Junid dari sekolah,
didapatinya Pusaran telah tiada kerana Mohsin telah menjual Pusaran kepada Tuan Haji Subki
untuk dikorbankan. Junid keluar mencari Pusaran.
Pada bahagian klimaks, Junid mendapati Pusaran telah dibaringkan segera memeluk
leher Pusaran dan meminta agar dia dibunuh sama.
Pada bahagian peleraian, Tuan Haji Subki telah membatalkan niat untuk
mengorbankan Pusaran. Malah beliau turut menegur Mohsin yang membuat keputusan tanpa
berbincang dengan Junid terlebih dahulu. Mohsin juga berjanji tidak akan memisahkan Junid
dengan Pusaran lagi.

5.0 WATAK & PERWATAKAN

JUNID
 Watak utama
 Berusia 7 tahun
 Belajar dalam tahun satu
 Anak bongsu kepada Mohsin dan Musalmah
 Seorang yang penyayang, iaitu sangat sayang akan Pusaran.

PUSARAN
 Seekor anak lembu yang berusia 2 tahun.
 Diberi nama Pusaran kerana terdapat dua pusaran, iaitu di atas dahi kepalanya dan di bawah
perutnya.
 Seekor lembu yang jinak dan manja dengan Junid.
 Pusaran juga patuh kepada tuannya.
 Pusaran hampir-hampir disembelih untuk Hari Raya Korban.

Mohsin
 Ayah kepada Junid, Junaidi, Rashid dan Adi.
 suami kepada Musalmah.
 Seorang ayah yang bertanggungjawab dan penyayang.
 Memiliki 8 ekar tanah bendang, 6 ekar dusun kelapa, dan 20 ekor lembu.
 Kurang kesedaran akan kepentingan pelajaran anak-anak.
 Mudah percaya kepada perkara karut iaitu mempercayai kata-kata bomoh bahawa Junid dan
Pusaran ialah kembar.
 Membuat keputusan secara terburu-buru tanpa berbincang dengan Junid terlebih dahulu
untuk menjual Pusaran.
55

6.0 LATAR

Latar Tempat
 Di sebuah kampung.
 Di rumah Junid.
 Di kandang lembu Pusaran.
 Di padang Gung Nibung tempat lembu-lembu meragut rumput.
 Di sekolah tempat Junid belajar.
 Di tempat Pusaran hendak disembelih.

Latar Masa
 Pada masa sebelum dan semasa perayaan Hari Raya Korban.
 Pada waktu pagi, petang dan malam.

Latar Masyarakat
 Masyarakat Melayu di sebuah kampung.
 Masyarakat yang beragama Islam.
 Masyarakat yang bergantung kepada bertani dan menternak.
 Masyarakat yang kurang kesedaran tentang kepentingan pelajaran anak-anak.
 Masyarakat yang masih mempercayai akan bomoh.

7.0 NILAI
 Nilai kasih sayang
Contohnya, Junid sangat sayang akan Pusaran sehingga rela dikorbankan bersama-sama
dengan Pusaran.
 Nilai bertanggungjawab
Contohnya, Mohsin dan Musalmah merupakan ibu bapa yang bertanggungjawab dan mengambil
berat terhadap anak-anaknya.
 Nilai belas kasihan
Contohnya, Tuan Haji Subki yang berasa kasihan melihat Junid segera membatalkan niatnya
untuk menyembelih Pusaran.
 Nilai keinsafan
Contohnya, Mohsin telah insaf dan berjanji tidak akan memisahkan Junid dengan Pusaran lagi.
 Nilai kerajinan
Contohnya, anak-anak Mohsin dan Musalmah sangat rajin membantu menjaga binatang
ternakan mereka.

8.0 AMANAT
 Kita hendaklah sayang-menyayangi antara satu sama lain baik manusia mahupun haiwan.
Contohnya, Junid sangat menyayangi Pusaran sehingga dia tidak membenarkan ayahnya
mencucuk hidung Pusaran seperti lembu-lembu yang lain.
 Kita hendaklah insaf akan kesilapan yang kita lakukan.
Contohnya, Mohsin telah insaf akan kesilapannya dan berjanji tidak akan memisahkan Junid
dengan Pusaran lagi.
 Kita hendaklah menaruh belas kasihan terhadap seseorang.
Contohnya, Tuan Haji Subki berasa sangat kasihan melihat Junid yang sangat sayang akan
Pusaran telah membatalkan niatnya menyembelih Pusaran.
 Kita hendaklah tolong-menolong
Contohnya, masyarakat kampung yang menolong Tuan Haji Subki untuk menyembelih Pusaran
sebagai korban.
56

 Kita janganlah mempercayai perkara-perkara yang karut


Contohnya, Mohsin yang mempercayai kata-kata bomoh buta yang mengatakan bahawa Pusaran
ialah kembar Junid.

9.0 GAYA BAHASA

i. Simile

Patuh seperti anjing


halus seperti rambut
jagung

ii. Repitasi ( pengulangan )

Dan akan meminta ayahnya membeli baju raya baru. Meminta ayahnya
Membeli kasut baru. Meminta emaknya membuat kuih. Meminta
Segala-galanya.

iii. Penggunaan dialek daerah ( Kelantan )

Karang bermaksud nanti


Cerat bermaksud pasti
57

BUDI YANG TAK TERBELI

1. SINOPSIS
Cerpen ini mengisahkan Murni yang ingin membawa ibunya untuk tinggal bersamanya
di kota. Walau bagaimanapun, ibunya sering menolak kerana risau akan binatang peliharaannya,
risau akan tanaman-tanamannya dan tidak biasa dengan kehidupan di kota. Murni tetap tidak
berputus asa. Murni telah meminta Mak Timah untuk menjaga rumah dan binatang peliharaan
serta tanaman emaknya ketika ketiadaan emaknya di rumah. Akhirnya, Jemah terpaksa
mengikut Murni ke kota.
Namun, Murni sangat sibuk untuk meluangkan masa bersama dengan emaknya apatah
lagi membawa emaknya bersiar-siar di sekitar kota. Jemah yang kebosanan tidak senang
duduk tanpa melakukan sebarang kerja. Ketika berjalan di sekeliling rumah anaknya, dia telah
menemukan sebatang tajak, lantas dia menajak rumput di halaman rumah. Sewaktu Murni dan
Jamal pulang makan tengah hari, Jamal berasa sangat marah apabila melihat rumput yang
ditanamnya telah tajak. Sebagai seorang anak Murni tetap mempertahankan ibunya.
Selepas anak dan menantunya pergi bekerja, sekali lagi Jemah dihantui rasa bosan.
Ketika dia merayau-rayau di celah pokok orkid, dia terpandang sepohon anak mempelam dan
teringat anaknya sangat gemar makan mempelam jeruk. Tanpa berfikir panjang Jemah telah
menebang pokok ketapang di depan rumah lalu diganti dengan pokok mempelam. Sekali lagi
meletus kemarahan Jamal akibat tindakan Jemah itu. Jemah yang tidak selesa tinggal di kota
miminta dihantar pulang.
Pada suatu hari, Murni telah menerima sepucuk telegram daripada ibunya. Jamal
terus berprasangka buruk terhadap mentuanya. Ketika di kampung barulah mereka tahu
apakah tujuan mereka diminta pulang ke kampung. Rupa-rupanya ibu Murni telah membeli
sebidang tanah tapak rumah daripada Long Kasah yang hendak berpindah ke Ulu Beting dan
mahu menukar nama tanah tersebut kepada Murni. Murni berasa terharu dengan pengorbanan
emaknya.

2. TEMA
Tema cerpen ini adalah tentang KASIH SAYANG iaitu kasih sayang antara ibu dan anak.
Murni sangat sayang akan emaknya telah mengajak Jemah tinggal bersama dengannya di kota.
Demikian juga dengan Jemah yang telah membeli sebidang tanah untuk Murni.

3. PERSOALAN
 Pengorbanan seorang ibu terhadap anak
 Perbezaan nilai hidup masyarakat kota dengan masyarakat desa
 Kepentingan amalan berjimat cermat

4. PLOT
Plot cerpen ini adalah bersifat kronologi, peristiwa-peristiwanya disusun mengikut
urutan waktu. Pada bahagian eksposisi, pengarang memperkenalkan watak Murni dan Jemah.
Murni berusaha memujuk Jemah supaya mengikutnya pergi ke kota untuk tinggal bersama
dengannya.
Pada bahagian perkembangan plot, Jemah mengalami konflik jiwa kerana tidak betah
dengan kehidupan di kota. Jemah berasa sangat bosan di rumah kerana anak dan menantu
sibuk bekerja. Jadi untuk menghilangkan rasa bosannya Jemah telah menajak rumput di
halaman rumah. Tindakannya itu telah menimbulkan kemarahan Jamal. Konflik semakin
58

memuncak apabila Jemah menebang pokok ketapang di luar rumah untuk digantikan dengan
pokok mempelam. Sekali lagi meletus kemarahan menantunya akibat perbuatan Jemah itu.
Jemah yang tidak betah tinggal di bandar, akhirnya pulang ke kampung.

5. WATAK & PERWATAKAN


6. LATAR
7. NILAI
8. AMANAT
9. GAYA BAHASA

Você também pode gostar