Você está na página 1de 3

Artikel PAK 21

Pembelajaran abad ke-21: Harapan, realiti dan cabaran

Dr. Hayati Ismail

15 Januari 2018 9:38 PM

13 Januari 2018 yang lalu YB Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid telah memaklumkan bahawa
kelas Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK-21) akan dilaksanakan sepenuhnya di 2000 kelas di sekolah-
sekolah terpilih melibatkan kawasan Bandar dan luar Bandar. Beliau turut serta dalam sesi PAK-21 di
SMK Dato' Syed Ahmad, Kuala Nerang dan menyatakan harapan agar kemudahan yang diberikan nanti
akan dimanfaatkan sepenuhnya dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Yang menarik perhatian adalah respon daripada kalangan warga pendidik dan masyarakat terhadap
pelaksanaan PAK-21 yang dikongsi di laman Facebook YB Menteri Pendidikan. Ada yang begitu teruja
dengan kemudahan terkini yang diberikan dan berharap agar sekolah mereka adalah antara 2000
sekolah yang bertuah itu. Ada juga yang meminta Kementerian Pendidikan melihat kepada realiti yang
berlaku di sekolah serata negara yang menghadapi masalah capaian. Tidak kurang juga yang menyentuh
tentang cabaran melaksanakan PAK-21 sedangkan keadaan infrastruktur di sekolah masih lagi dalam
keadaan yang menyedihkan, terutama sekolah di kawasan pedalaman, malah berpandangan peruntukan
yang diberikan kepada ‘sekolah terpilih’ ini disalurkan kepada sekolah yang lebih memerlukan.

Harapan, realiti dan cabaran ini memang ada benarnya. Tidak ada sesiapa pun dapat menafikan bahawa
teknologi merupakan komponen yang penting dalam PAK-21, dalam usaha untuk membuka minda dan
perspektif murid kepada dunia luar yang sungguh mencabar. Dalam masa yang sama kita perlu akur
bahawa hakikatnya masih ada sekolah yang memerlukan baik pulih infrastruktur sebelum teknologi
terkini dapat dibawa masuk dan digunakan dalam proses PdP dengan berkesan.

Cabaran PAK-21 ini sebenarnya perlu dilihat daripada perspektif yang lebih besar dan meluas, iaitu
daripada aspek matlamat pendidikan itu sendiri. Dalam penulisan sebelum ini, saya telah menyentuh
tentang perlunya pendidikan itu diletakkan semula di landasan yang betul menuju ke arah
merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang diterjemahkan melalui Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. PAK-21 bukannya satu matlamat, tetapi salah satu cara untuk
kita mencapai apa yang dihasratkan oleh FPK, bagi membangunkan insan yang seimbang dan sejahtera.
Penulisan terkini YB Menteri ‘Menghayati Aspirasi Pendidikan” yang dikongsimelalui portal rasmi beliau
di portal.tokdet.my sangat tepat pada masanya bagi memberikan perspektif yang jelas mengenai
pelaksanaan PAK-21 dan hala tuju pendidikan. Sejujurnya apabila disebut PAK-21, tergambar dalam
fikiran kita sebuah bilik darjah yang dilengkapi smartboard, capaian internet yang sangat laju
membolehkan video-conferencing dilakukan dengan mana-mana tempat di seluruh dunia, bilangan
murid yang ideal serta diberi kemudahan tablet setiap seorang.

Namun begitu seperti yang ditegaskan oleh YB Menteri, PAK-21 bukanlah semata-mata berpaksikan
teknologi, tetapi lebih menjurus kepada pendekatan PdP yang menggalakkan pembelajaran kolaboratif,
kreatif, pemikiran kritis dan komunikasi. Dalam konteks pendidikan Negara kita, PAK-21 mestilah
berasaskan nilai yang menunjukkan kita sebagai warga Malaysia. Hakikat inilah yang dimaksudkan oleh
beliau bahawa tanpa teknologi, PAK-21 masih boleh berlaku.

Dalam membangunkan murid seimbang dan sejahtera yang dipupuk dengan Enam Aspirasi Murid, guru
dan pentadbir perlu kreatif untuk menggunakan sumber yang ada, ataupun yang boleh diperolehi
melalui kerjasama pelbagai pihak bagi mengoptimumkan proses PdP. Murid yang hadir ke sekolah pada
zaman ini bukan lagi umpama ‘tong kosong’ yang perlu dipenuhkan dengan ilmu pengetahuan. Murid
pada abad ke-21 ini pergi ke sekolah berbekalkan pengetahuan yang diperolehi daripada pelbagai
sumber dari luar bilik darjah – daripada ibu bapa, rakan sebaya, komuniti setempat dan daripada dunia
luar melalui internet.

Peranan guru kini adalah sebagai pembimbing yang dapat menyedarkan murid bahawa proses
pembelajaran dan pemerolehan ilmu berlaku di mana-mana sahaja tidak kira masa sepanjang hayat
mereka. Usaha untuk membimbing murid ini memerlukan cara yang kreatif; bukan sahaja ilmu yang
dikongsi oleh guru menerusi keperluan yang ditetapkan dalam kurikulum standard tetapi juga
perkongsian daripada murid melalui ilmu yang diperoleh di luar bilik darjah menerusi pelbagai medium.

Guru perlu memupuk Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam kalangan murid melalui kaedah
bertanya yang sesuai dengan tahap murid. Murid perlu berkomunikasi, berkongsi idea kreatif dan
belajar secara kolaboratif di dalam dan luar bilik darjah. Tidak kira murid prasekolah, murid pendidikan
khas mahupun murid Tingkatan Enam, setiap murid boleh dipupuk KBAT dengan strategi bertanya
sebagaimana yang telah didedahkan kepada setiap guru semasa mereka melalui latihan perguruan satu
masa dahulu.

Perubahan pelaporan pentaksiran dan pemansuhan pengasingan kelas secara berperingkat seperti yang
diumumkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia baru-baru ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh
pentadbir pendidikan. Inilah masanya bagi Pengetua dan Guru Besar sekolah menentukan ethos atau
karektor sekolah berdasarkan kekuatan dan sumber yang boleh diperolehi dengan kerjasama guru, ibu
bapa serta komuniti setempat. Lebih 5,000 Pengetua dan Guru Besar yang ada kini telah melalui
Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL), justeru pastinya mereka
mampu mengumpul kekuatan daripada pelbagai sumber bagi mendepani cabaran pendidikan. Harapan
kita agar pemimpin pendidikan mampu untuk menggalas tanggungjawab dan amanah yang telah
diberikan bagi menyokong guru-guru dalam menyempurnakan tugas mendidik anak bangsa Malaysia.

Você também pode gostar