Você está na página 1de 3

KOLUM BUKA MINDA, MINGGUAN MALAYSIA:

Bijak Buat Keputusan


Oleh: Dr. Tengku Asmadi T. Mohamad
Fanpage: www.facebook.com/drasmadi
E-Mel: drasmadi@maptraining.com.my

Setiap hari kita perlu membuat keputusan dalam hidup ini. Sama ada keputusan-keputusan kecil
mahu pun keputusan-keputusan besar. Ada keputusan yang dibuat tidak memberikan kesan masa
depan seperti pagi ini mahu sarapan apa? Mahu pakai baju apa? Mahu jumpa kawan di mana? Dan
pelbagai lagi soalan-soalan yang memerlukan jawapan kita. Ada pula keputusan yang penting
kepada kehidupan dan perlu diperhalusi dan difikirkan masak-masak. Misalnya, mahu terima atau
tidak lamaran dia? Ingat, keputusan yang dibuat memerlukan kita hidup dengannya mungkin
sepanjang hayat. Adakah orang yang kita pilih itu terbaik buat kita? Mahu ambil bidang atau
jurusan apa di universiti? Kena sedar bahawa keputusan yang dibuat berkemungkinan besar
menyebabkan anda menghabiskan sebahagian besar usia memilih kerjaya yang anda sendiri tidak
berminat atau tidak mampu menyerlahkan potensi sebenar. Akhirnya, anda hanya jadi orang biasa-
biasa.

Ramai orang sukar membuat keputusan yang bijak apabila berdepan dengan masalah atau ketika
perlu membuat sesuatu pilihan. Keputusan yang bijaksana biasanya mampu dibuat berdasarkan
pengalaman dan kematangan hidup. Pengalaman pula datangnya daripada ilmu pengetahuan,
pergaulan, peristiwa lampau (sama ada baik atau buruk) dan kemampuan berfikir yang tinggi.
Seseorang yang takut berhadapan dengan cabaran, lari apabila berhadapan dengan masalah atau
sentiasa cuba mencari jalan singkat bagi menyelesaikan sesuatu perkara tidak akan mendapat
pengalaman hidup yang bernilai bagi membolehkan dia membuat keputusan bijak di masa akan
datang. Sebaliknya, seseorang yang sanggup mencuba sesuatu yang baru, berani mengambil risiko
dan menerima perubahan sebagai sesuatu yang positif biasanya akan mendapat pengalaman yang
berharga dan menjadikannya seorang yang bijak membuat keputusan di masa-masa yang akan
datang.

Namun begitu, bukan bermakna kita mengambil risiko tanpa pertimbangan. Sebab membuat
keputusan untuk mengambil risiko juga satu keputusan. Malah tidak semestinya perubahan itu
sesuatu yang baik. Kerana perubahan membuka ruang kepada pelbagai persoalan baru yang tidak
terjawab sehinggalah kita melaluinya.

Berikut adalah beberapa tip untuk membolehkan kita membuat keputusan yang bijak:

1) Faham betul-betul apa yang kita mahukan. Ada ketikanya keputusan sukar dibuat kerana
kita sendiri tidak tahu apa yang kita mahu dalam hidup ini. Orang yang mahu kaya akan buat
keputusan untuk berniaga setelah beberapa tahun bekerja makan gaji. Sebaliknya seseorang
yang mahu menjadi Ketua Eksekutif dan menerajui sebuah syarikat korporat terkemuka akan
membuat keputusan untuk menyambung belajar ke peringkat yang lebih tinggi dan seterusnya
bekerja dengan penuh dedikasi dan sentiasa berusaha menonjolkan keupayaan diri dan bakat
kepimpinannya. Apabila kita sudah jelas dengan apa yang dimahukan maka mudahlah
membuat perancangan tentang apa yang perlu dilakukan. Oleh itu, luangkan masa untuk betul-
betul membuat analisis diri tentang minat, bakat, kecenderungan, kebolehan, potensi, peluang,
ruang, risiko dan sebagainya. Malah lebih baik jika berikan masa untuk membuat analisis
‘SWOT’ terhadap diri sendiri. Dengan cara ini kita tahu apa yang sesuai untuk kita. Sebab
mungkin apa yang kita mahu itu sekadar ikut-ikutan dan tidak sesuai dengan bakat dan
kebolehan kita. Mungkin juga sesuatu yang kita mahu itu memang bertepatan dengan minat
dan kebolehan tetapi tidak pula mempunyai potensi pekerjaan yang terjamin.

2) Bergaul dengan orang lama dan berpengalaman. Ada sesetengah orang merasa kekok
apabila bergaul dengan mereka yang lebih berusia, berkedudukan dan berpangkat lalu memilih
untuk bergaul dengan mereka yang setaraf sahaja. Untuk berjaya kita hendaklah bergaul
dengan mereka yang telah pun terlebih dahulu mengecapi kejayaan dan lebih dahulu makan
garam. Pertama, kita akan dapat pengalaman dan cerita daripada mereka tentang rahsia dan
petua mencapai kejayaan. Kedua, kita boleh meminta pandangan daripada orang yang
berkualiti dalam membuat sesuatu keputusan penting. Ketiga, kita akan lebih dikenali oleh
mereka, dan mungkin akan diangkat nama untuk mengisi kekosongan jawatan yang lebih tinggi
satu hari nanti. Sebab rahsia kejayaan itu ialah tahu apa yang perlu dilakukan dan kenal siapa
yang boleh membantu membukakan laluan untuk kita naik ke atas. Dengan pergaulan yang
luas maka mudahlah kita membuat keputusan berdasarkan pengalaman-pengalaman orang lain.
Ilmu yang diperolehi melalui pergaulan langsung sebegini sangat mahal nilainya dan tidak
mungkin dapat dipelajari di sekolah atau universiti.

3) Fahami betul-betul apa isu atau masalahnya. Kerapkali kita tidak dapat membuat keputusan
disebabkan kita tidak faham apa sebenarnya isu atau masalah yang sedang dihadapi itu.
Kesannya, kita sendiri keliru dan tidak pasti apa punca sebenar sesuatu masalah itu lalu sukar
membuat keputusan yang baik. Kita terpengaruh dengan cakap-cakap orang, retorik, kempen,
iklan dan seumpamanya hinggakan semua input-input itu mempengaruhi keputusan yang mahu
dilakukan. Sebab itulah apabila berhadapan dengan masalah, isu dan kesukaran maka usah buat
keputusan ketika minda tidak fokus dan tajam. Menangguhkan keputusan seketika ada
ketikanya membawa kepada rahmat yang besar. Namun perlu juga diingat, usah lama
menangguhkan keputusan terutamanya apabila berhadapan dengan risiko kehilangan peluang
keemasan. Kena bijak seimbangkan dua keadaan ini.

4) Ketepikan soal ego dan emosi. Ada ketikanya kita menjadi begitu beremosi hinggakan emosi
negatif seperti marah, dendam, cemburu, irihati, dengki dan seumpamanya mempengaruhi
keputusan. Akhirnya, setelah keputusan dibuat barulah datangnya penyesalan. Ketika itu,
penyesalan sudah tiada gunanya lagi. Sebab itulah dalam membuat keputusan, ia perlu datang
dari hati yang ikhlas mencari jawapan. Kesan baik dan kesan buruk daripada keputusan itu
perlu diletakkan betul-betul atas neraca timbangan dan diperhalusi dengan akal fikiran
bukannya perasaan. Tulis masalah atas kertas. Usah biarkan masalah berserabut dalam fikiran.
Lihat keutamaannya.

5) Buatlah solat Istikharah. Untungnya menjadi orang Islam ialah kita mempunyai cara yang
boleh membantu dalam membuat keputusan iaitu melalui solat Isthikarah. Setelah jelas apakah
bentuk keputusan atau pilihan yang perlu dibuat maka dirikanlah solat Istikharah. Selainnya
serahlah pada Allah s.w.t untuk memberikan kita petunjuk. Ada ketikanya petunjuk itu datang
melalui mimpi. Ada ketikanya melalui gerak hati yang terasa cenderung kepada sesuatu pilihan
sedangkan sebelum ini akal lebih mahukan pilihan yang berbeza. Ada ketikanya, Allah s.w.t
menghantar seseorang yang membantu kita membuat keputusan dan pilihan. Namun apa juga
caranya, bersyukurlah dengan pilihan dan keputusan yang telah ditunjukkan oleh Allah s.w.t itu.
Sebelum solat Istikharah itu dilakukan, dapatkan dulu pandangan daripada semua pihak. Usah
mendengar, percaya dan taksub dengan hanya satu pihak sahaja.

Você também pode gostar