Você está na página 1de 3

KOLUM BUKA MINDA, MINGGUAN MALAYSIA:

9 Tip Sayang Isteri


Oleh: Dr. Tengku Asmadi T. Mohamad
Fanpage: www.facebook.com/drasmadi
E-Mel: drasmadi@maptraining.com.my

Beberapa hari yang lalu saya didatangi oleh sepasang suami isteri meminta nasihat agar rumah
tangga mereka yang kini berada pada tahap kritikal dapat diselamatkan. Bayangkan apabila sebuah
mahligai yang sudah dibina selama hampir tiga puluh tahun dan anak-anak juga sudah besar tiba-
tiba musnah. Terdapat banyak punca berlakunya penceraian seperti masalah kewangan,
ketidakserasian, salah faham, fitnah, masalah campurtangan keluarga, kehadiran orang ketiga dan
seumpamanya. Walau apa sekali pun puncanya, usaha perlu dilakukan bagi menyelamatkan
mahligai walau dengan apa cara sekali pun.

Perkataan cerai usah mudah dilafazkan oleh seorang suami, meski pun didesak bertalu-talu oleh
isteri. Sebab, dalam situasi tegang tindakan biasanya mengikut emosi dan nafsu. Ada suami yang
tidak kuat dan tidak sabar akhirnya menjatuhkan lafaz talak tiga sekali gus. Kemudian apabila
keadaan sudah tenang, minda sudah boleh berfikir barulah insaf. Ketika itu nasi sudah menjadi
bubur dan segalanya sudah terlambat.

Mengikut pengalaman saya lebih 20 tahun menjalankan motivasi, hampir 90% penyelesaian konflik
rumahtangga tidak perlu melalui penceraian. Oleh itu, 90% penceraian yang berlaku di luar sana
sebenarnya tidak perlu berlaku. Namun ia tetap berlaku kerana pasangan tiada ilmu, tidak sabar dan
kurang bijak mengurus konflik. Memanglah jodoh itu ditangan Allah namun usaha menyelamatkan
perkahwinan itu perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh dahulu.

Bagi kita para suami, hayatilah beberapa tip di bawah agar kita menjadi seorang suami yang mampu
bersabar dalam perkahwinan.

1) Ingatlah kita lelaki yang dipilihnya menjadi suami sedangkan dia dulunya mungkin ada
pilihan yang lain. 


Suka atau tidak itulah hakikatnya. Kita menjadi suami pada isteri kerana dia menerima kita
untuk menjadi suaminya. Dia mungkin ada beberapa pilihan yang lain namun kitalah yang
dirasakan paling serasi, secocok dan sekufu dengannya. Kitalah yang diharapkan dapat menjadi
payung baginya dan mendidik dia menjadi isteri yang baik lagi solehah. Cuba imbas kembali
betapa bahagianya hati ketika dia bersetuju menjadi isteri kita. Indah dan bermakna sungguh
saat itu. 


2) Kenang pengorbanannya sewaktu dia sanggup bersusah-susah dahulu sebelum senang. 




Mengharungi kehidupan disaat awal perkahwinan bukannya mudah. Rumah sewa dan gaji pun
kecil. Yang berniaga, juga bermula secara kecil-kecilan. Kita suami isteri sanggup berkorban
masa, tenaga, perasaan dan segalanya demi membina sebuah kejayaan. Makan kita makanlah
isteri. Ramai isteri yang sanggup sama-sama bersusah payah demi memastikan keadaan
keluarga menjadi lebih berjaya satu hari nanti. Doanya untuk kita tidak pernah putus. Sakit
demam kita dijaganya. Keluhan hati kita didengarnya. Kesusahan kita dirasakannya. Jadi,
kenapa mesti kita lupakan semua itu. Apa sekali pun jalan yang kita pilih pastikan isteri yang
sama-sama susah itu tidak diabaikan, apa lagi dibuang. Tutup mulut dan padam perkataan cerai
daripada dalam minda.


3) Dialah ibu yang separuh nyawa bertarung mengandung dan melahirkan anak-anak kita. 


Bukan senang mahu mengandungkan anak selama sembilan bulan dan melahirkannya. Jika kita
berpeluang melihat bagaimana sukar dan sakitnya isteri melahirkan anak maka pastilah timbul
rasa insaf dan kasihan terhadapnya. Sakitnya hanya Allah sahaja yang tahu. Apakah kita
sebagai suami dengan mudah mahu lupakan semua itu. Oleh itu, walau apa sekali pun ujian
Allah, didiklah hati isteri dan pujuklah hatinya sebab marah bagaimana sekali pun isteri, jauh di
sudut hatinya dia sayangkan kita. Mulutnya bising, kata-katanya kesat tetapi percayalah
semuanya itu hanya luarannya sahaja.


4) Imbas kembali saat-saat indah ketika zaman berkenalan atau bercinta dahulu. 


Kalau hati sudah suka

Semua indah saja

Itukah tanda bunga kasih bermula

Di dalam jiwa


Begitulah indahnya lirik lagu lama yang pernah didendangkan juga oleh Uji Rashid dan Hail
Amir. Tetapi apabila hati marah dan tidak suka semuanya buruk. Sepatutnya semakin lama
usia perkahwinan semakin kenal kita akan pasangan masing-masing. Kita kenal baiknya, kita
juga kenal buruknya. Sebab itulah perkahwinan itu adalah bertujuan untuk saling melengkapi,
apa yang kurang pada isteri lebihnya mungkin pada suami dan begitu juga sebaliknya. Oleh itu
setiap kali berlakunya krisis, kenanglah semula saat-saat indah bersama dan segala kebaikannya
yang membuatkan hati tertarik padanya. Dengan cara itu tidaklah kita membuat tindakan
melulu dan terburu-buru.


5) Tatap wajahnya ketika dia sedang tidur dan ucaplah syukur serta kasihanilah dia serta
doakan dia. 


Kenapa perlu tatap wajah isteri ketika dia tidur? Kerana wajah isteri ketika itu tanpa emosi.
Cuba dengarkan suara hati kita ketika menatap wajah itu. Pasti akan hadir rasa sayang, kasih
dan simpati. Pasti tidak dapat dibayangkan pilu dan sedihnya hati ini jika bangun esok paginya
wajah itu sudah tiada lagi. Bersyukurlah ketika ramai orang yang tidak punya isteri, Allah
anugerahkan kita seseorang sebagai teman hidup. Itulah wajah yang menyimpan segala memori
pahit manis bersama. Dikesempatan itu doakanlah dia agar syurga menjadi destinasi akhirnya.
Bisikkan ketelinganya yang kita sayangkan dia. 


6) Hargai usahanya memasak, mengemas, menjaga anak dan melayani kehendak batin kita.


Bukan senang menjalani hidup sebagai seorang isteri. Tugas seorang isteri ialah dua puluh
empat jam sehari dan tujuh hari seminggu. Bekerja tanpa cuti kecuali sewaktu jatuh sakit. Itu
pun digagahinya juga untuk memasakkan nasi dan lauk untuk suaminya. Bukan itu sahaja, bagi
isteri yang tiada pembantu rumah semuanya dilakukan olehnya. Mengemas rumah, membasuh
baju, melipat kain, menyapu sampah, mencuci tandas, menjaga anak-anak dan segalanya.
Subhanallah, besarnya khidmat bakti seorang yang benama isteri maka sewajarnyalah dia
dihargai. 


7) Berbulan Madu Kali Kedua




Tinggalkan anak-anak beberapa hari untuk berikan masa bersama. Cinta dan kasih sayang ada
masanya kena dicas dan diperbaharui semula. Cubalah suburkan semula rasa cinta itu dengan
meluangkan masa bersama tanpa sebarang gangguan serta tidak fikirkan kerja dan anak-anak.
Fokus hanya pada pasangan kita sahaja.


8) Berikan dia kejutan atau surprise




Sesekali buatkanlah satu kejutan. Ajak dia keluar makan di tempat yang istimewa. Belikan dia
hadiah sesuatu yang selama ini memang diidam-idamkan olehnya. Elemen kejutan ini perlu
dilakukan dari semasa ke semasa dan inilah antara saat-saat indah apabila salah seorang
daripada kita sudah tiada lagi di dunia ini nanti.


9) Ingat hari-hari pentingnya. 




Orang perempuan sangat suka apabila kita ingat tarikh-tarikh penting dalam hidupnya. Itu
tanda kita sayang dan cakna. Mungkin bagi suami perkara sebegini kecil dan tidak penting
tetapi bagi isteri ia sangat bermakna. Malah ada suami yang tidak pernah menyambut hari-hari
penting atas alasan ia bukan ajaran agama. Tetapi tidakkah menggembirakan hati isteri dan
memberikan kasih sayang itu suruhan agama? Kalau setiap hari itu sama maka tiadalah
dikatakan sebagai istimewa. Asal sahaja ia tidak dijadikan sebagai satu perkara yang wajib.
Raikan hari lahirnya, berikan dia hadiah dihari ulang tahun perkahwinan kita, berikan dia
hadiah di hari dia melahirkan anak kita dan seumpamanya.

Você também pode gostar