Você está na página 1de 4

HATI saya amat pilu apabila melihat gambar kemalangan ngeri melibatkan

kenderaan merempuh besi penghadang atau pembahagi jalan terutamanya


yang diperbuat daripada besi. Lebih mengerikan apabila pembahagi jalan
jenis besi menembusi badan atau cermin kenderaan lantas mencederakan
atau meragut nyawa pemandu atau penumpang.

Bagi penghadang yang diperbuat daripada konkrit pula, kenderaan yang


merempuhnya akan remuk teruk sehingga menyukarkan usaha untuk
mengeluarkan mangsa yang tersepit. Penghadang jalan sepatutnya berfungsi
menghalang kenderaan daripada terbabas ke laluan bertentangan atau
terkeluar dari jalan dan melanggar objek yang berbahaya seperti pokok, tiang,
batu besar, longkang, cerun curam, kawasan takungan air dan sebagainya.

Namun, kes-kes yang berlaku menunjukkan ramai mangsa maut atau cedera
parah apabila kenderaan mereka terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

Terbaharu, dua maut termasuk seorang penuntut Universiti Teknologi Mara


(UiTM) apabila sebuah bas dua tingkat dinaiki merempuh pembahagi jalan
jenis besi di Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Batu Gajah, Perak pada 2
September lalu.

Pada 27 Ogos, seorang penumpang maut dan dua lagi cedera apabila kereta
yang dinaiki mereka merempuh penghadang jalan di Jalan Salor-Pasir Mas,
Kelantan, manakala pada 25 Ogos, dua maut dan lima lagi cedera selepas
kenderaan mereka terbabas dan melanggar besi penghadang jalan di Jalan
Chini-Terapai, Pahang.

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2016 menunjukkan sebanyak


1,850 kes kemalangan maut berlaku akibat kenderaan terbabas. Kira-kira 28
peratus punca kes kemalangan maut pada tahun tersebut adalah akibat
kenderaan terbabas.

Adalah penting untuk melihat dan mengkaji semula penggunaan jenis


pembahagi jalan yang sesuai di negara ini bagi menjamin keselamatan
pengguna jalan raya.

Ini kerana kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan terbabas dan


melanggar penghadang dan pembahagi jalan sejak kebelakangan ini telah
menimbulkan kerisauan pelbagai pihak kerana melibatkan kecederaan parah
dan kematian.
Bagi memastikan keberkesanan penghadang jalan, pihak yang
bertanggungjawab perlu memastikan hanya jenis yang sesuai dan selamat
dipasang mengikut spesifikasi dan teknik pemasangan yang betul.

Menurut kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia


(MIROS), penghadang jalan di Malaysia terbahagi kepada tiga kategori iaitu
penghadang tegar (rigid barrier), penghadang separa tegar (semi rigid barrier)
dan penghadang boleh lentur (flexible barrier).

Penghadang tegar kebiasaannya dibina daripada konkrit dan boleh menahan


impak pelanggaran yang tinggi. Namun seperti yang saya terangkan
terdahulu, kesan perlanggaran selalunya amat teruk.

Penghadang separa tegar yang paling banyak digunakan di Malaysia pula


mempunyai kadar pesongan purata antara 1.0m-1.2m manakala penghadang
boleh lentur pula mempunyai purata pesongan yang terbesar iaitu antara
1.0m – 1.7m. Sifat tersendiri setiap kategori penghadang ini menjadi asas
dalam pemilihan kesesuaian lokasi pemasangan.

Di Malaysia, penggunaan penghadang separa tegar jenis W-Beam Guardrail


amat popular namun ia sering mengakibatkan kecederaan serius dan
kematian apabila bahagian hujung atau terminal penghadang menembusi
kenderaan.

Untuk mengatasi masalah ini, pihak berkuasa berkaitan dan penyelenggara


jalan dan lebuh raya perlu melakukan audit menyeluruh ke atas struktur
penghadang jalan di bawah bidang kuasa mereka agar mematuhi spesifikasi
pemasangan yang ditetapkan pakar termasuk Pertubuhan Kejuruteraan Jalan
Malaysia (REAM).

Mereka juga perlu mempelajari teknik pemasangan dan jenis penghadang


jalan yang terbukti berkesan di luar negara terutamanya di negara-negara
yang mempunyai jumlah kematian dan kecederaan rendah akibat
kemalangan jalan raya seperti Monaco, Sweden dan United Kingdom.

Teknologi yang terbukti berkesan seharusnya dilaksanakan di seluruh negara


bagi membantu menurunkan jumlah kecederaan serius dan kematian akibat
kemalangan jalan raya.

Sebagai contoh, pemasangan penghadang jalan keselamatan


beroda sepanjang 130 meter di Jalan Lapangan Terbang Subang menghala
ke Lebuhraya Persekutuan dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan
raya sebanyak 94 peratus dalam tempoh enam bulan sejak Disember 2016.

Pada masa sama, pihak bertanggungjawab perlu memastikan penghadang


dan pembahagi jalan diselenggara dengan baik kerana struktur yang rosak
boleh menyebabkan kemalangan yang lebih teruk.

Alangkah malangnya jika kita berterusan membaca kisah kemalangan ngeri


melibatkan kenderaan merempuh penghadang jalan sedangkan pihak terbabit
telah pun membelanjakan jutaan ringgit untuk memperbaiki struktur yang ada.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan
Jalan Raya Malaysia (MIROS).

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/pembahagi-jalan-


8216-pembunuh-8217-sebenar-1.750872#ixzz5cY3TUHs0
© Utusan Melayu (M) Bhd

Você também pode gostar