Você está na página 1de 3

Langkah-langkah menjaga kesihatan

“Kesihatan melambangkan kekayaan” dan “Badan sihat, otak cerdas” sering diungkapkan oleh orang
ramai. Oleh itu, kesihatan amat penting kepada kita dan kita wajar menjaganya dengan sempurna. Kita
sanggup melakukan pelbagai aktiviti untuk mencapai tahap kesihatan optimum seperti mengambil
pelbagai produk kesihatan dan ubat-ubatan.

Langkah pertama yang perlu kita amalkan untuk menjaga kesihatan adalah dengan mengambil makanan
yang berkhasiat dan seimbang setiap hari. Justeru, kita harus mengambil makanan daripada semua
kelas makanan pada kadar yang betul seperti yang disyorkan oleh piramid makanan. Antara makanan
yang berkhasiat termasuklah sayur-sayuran yang kaya dengan serat dan vitamin, bijirin, buah-buahan,
hidupan laut, dan hasil tenusu yang membekalkan protein. Kita harus memastikan bahawa kita hanya
mengambil makanan yang berkualiti sahaja.

Selain pengambilan makanan yang seimbang dan berkhasiat, kita perlu beriadah dan melakukan
senaman atau bersukan. Hal ini perlu ditekankan sekiranya kita jarang melakukan kerja berat. Dengan
beriadah atau bersukan, kita dapat menggerakkan otot badan dan membolehkannya berfungsi dengan
baik. Di samping itu, kita juga dapat membakar lemak yang berlebihan dan mengeluarkan peluh. Aktiviti
bersenam juga dapat melancarkan pengaliran darah dalam tubuh ke jantung dan mengurangkan risiko
penyakit jantung. Pihak kerajaan menggalakkan masyarakat melakukan aktiviti sukan untuk mencegah
seseorang daripada menghidapi kencing manis, sakit jantung, dan tekanan darah tinggi.

Akhirnya, ubat yang paling mujarab untuk mengekalkan kesihatan seseorang adalah dengan mempunyai
rehat dan tidur yang secukupnya. Setiap orang digalakkan tidur tidak kurang daripada enam jam sehari.
Kita juga harus berehat bagi mengekalkan kesihatan yang stabil. Orang yang tidak mempunyai rehat
yang cukup tidak dapat menumpukan perhatian kepada kerja yang dilakukan dan melaksanakannya
dengan baik. Malah mereka mudah berasa letih dan senang jatuh sakit. Oleh yang demikian, masa
sekurang-kurangnya lapan jam sehari diperuntukkan untuk berehat dan tidur amat perlu ditekankan.

Kesimpulannya, kerajaan amat menitikberatkan kesihatan rakyat dengan menyediakan pelbagai


kemudahan kesihatan di samping melancarkan kempen “Rakyat Sihat, Negara Maju.” Rakyat yang sihat
dapat menyumbang kepada pembangunan negara dan menjadi pekerja yang produktif. Justeru, setiap
rakyat harus bertanggungjawab untuk menjaga kesihatan diri seperti kata cogan kata mencegah lebih
baik daripada merawat.
Kesihatan amat penting dalam kehidupan kita. Oleh itu,kita perlulah menjaga kesihatan agar
berada dalam keadaan yang baik. Berikan pendapat anda tentang langkah-langkah untuk menjaga
kesihatan diri.

Kesihatan amat penting dalam kehidupan kita sehari-hari. Dengan memiliki tubuh badan yang
sihat, seseorang dapat melaksanakan aktiviti harian tanpa halangan. Anak-anak dapat ke sekolah
menimba ilmu dan ibu bapa dapat mencari rezeki untuk keluarga. Bagi sesetengah orang, nikmat
kesihatan hanya disedari apabila mereka diserang penyakit. Mereka sanggup menghabiskan wang
membeli ubat dan makanan kesihatan untuk mengubati penyakit yang dihadapi. Tambahan pula,
pelbagai ubat dan produk makanan kesihatan wujud di pasaran sekarang seperti “Cendawan tumbuh
selepas hujan”. Oleh sebab peri pentingnya nikmat ini dalam kehidupan, beberapa langkah perlu diambil
agar kesihatan kita terjamin. (90 pk)

Salah satu langkah yang perlu kita beri perhatian untuk menjaga kesihatan adalah dengan menjaga
kebersihan persekitaran tempat tinggal. Keadaan di dalam dan di luar rumah hendaklah bersih daripada
sampah sarap dan tempat-tempat air bertakung. Perkara ini akan dapat menghapuskan tempat
pembiakan agen-agen penyakit seperti lalat, tikus, nyamuk dan lain-lain. Kita perlulah menyahut seruan
kempen yang dilancarkan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam iaitu kempen “Jumpa
Sampah Kutip” dan kempen “Memerangi LILATI (lipas,lalat dan tikus).” Oleh itu, sampah perlu dibakar,
dikambus atau dibuang di tempat khas. Pasu-pasu bunga dan longkang perlu diperiksa agar air tidak
bertakung dan menjadi tempat pembiakan nyamuk. Dengan demikian, penyakit-penyakit bawaan vektor
seperti taun, malaria, dan denggi dapat dielakkan. Tegasnya, menjaga kebersihan persekitaran
merupakan langkah asas untuk kita semua ke arah mencapai tahap kesihatan yang optimum. (131pk)

Selain itu, pemeriksaan kesihatan amat wajar dilakukan untuk memastikan kesihatan kita berada dalam
keadaan baik. Mengikut saranan pakar perubatan, seseorang perlu melakukan pemeriksaan kesihatan
sekurang-kurangnya dua kali setahun atau enam bulan sekali. Pemeriksaan ini meliputi tekanan darah,
paras gula dalam darah, tahap kolesterol dan lain-lain lagi. Tujuan pemeriksaan dibuat untuk memastikan
tahap kesiahatan kita berada dalam keadaan sihat dan dapat mengesan penyakit kronik dengan lebih
awal seperti penyakit darah tinggi, kencing manis dan sebagainya. Hal ini bertepatan dengan peribahasa,
“Mencegah lebih baik daripada mengubatinya”. Bagi pesakit yang telah diserang penyakit ini,
keadaannya akan boleh dikawal sebelum menjadi serius seperti peribahasa,“Cegah sebelum parah”.
Pendek kata, kesihatan seseorang akan berada dalam keadaan baik jika kita secara berdisiplin menjalani
pemeriksaan kesihatan diri di hospital-hospital secara berjadual. (123 pk)

Mengamalkan pemakanan seimbang tidak kurang pentingnya sebagai langkah menjaga kesihatan kita.
Amalan pemakanan berkait rapat dengan kesihatan seseorang. Hal ini bertepatan dengan peribahasa
Inggeris tentang amalan pemakanan iaitu “What you are, is what you eat”. Boleh dikatakan seseorang
yang mengamalkan pemakanan yang seimbang akan memperoleh kesihatan yang baik. Mengamalkan
pemakanan seimbang bermakna seseorang mengambil makanan yang berkhasiat dan berzat sesuai
dengan keperluan tubuh badan seseorang. Seseorang individu memerlukan makanan yang sesuai
berdasarkan usia, pekerjaan dan keperluan-keperluan lain. Sebagai contohnya, seorang bayi
memerlukan lebih kalsium berbanding orang dewasa yang memerlukan lebih protein. Untuk lebih jelas,
seseorang perlu merujuk kepada piramid makanan sebagai panduan untuk mendapatkan gizi seimbang.
Sehubungan dengan itu, makanan ringan dan minuman bergas perlu dielakkan kerana boleh
memudaratkan kesihatan kita. Pendek kata, langkah terbaik untuk mencapai tahap kesihatan adalah
dengan mengamalkan diet makanan seimbang. (135pk)

Seterusnya, kesihatan kita akan lebih terjamin jika kita melakukan kegiatan riadah. Amalan riadah seperti
berenang, jogging, menunggang basikal dan kegiatan sukan lain adalah baik untuk kesihatan. Pensyarah
Sains Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr. Zulkifli Abdul Kadir, menyarankan
setiap individu melakukan kegiatan riadah selama 30 minit dua kali seminggu bagi mendapatkan tahap
kesihatan yang optimum. Kegiatan riadah ini akan menjadi kebiasaan jika setiap hari kita melakukannya
dengan penuh disiplin dan istiqamah sesuai dengan peribahasa, “Alah bisa tegal biasa.” Dengan
melakukan kegiatan riadah, otot-otot tubuh akan lebih bertenaga dan kecergasan badan akan bertambah
baik. Di samping itu, seseorang dapat menghirup udara segar semasa melakukan senaman di taman-
taman permainan serta dapat mengurangkan tekanan atau stress selepas seharian penat bekerja di
pejabat. Seyogia disarankan agar kita dapat melakukan kegiatan senaman secara untuk memperoleh
kesihatan yang baik. (134 pk)

Amalan gaya hidup sihat merupakan langkah yang tidak kurang pentingnya untuk mendapatkan
kesihatan yang baik. Kini, kita dikejutkan dengan bermacam-macam amalan hidup yang negatif telah
menular dalam masyarakat kita. Antara gaya hidup yang negatif ialah amalan seks rambang dan bebas,
melanggani pelacur, penagihan dadah dan pil-pil khayal, ketagihan arak serta lain-lainnya. Begitu juga
amalan merokok yang masih menjadi sebahagian cara hidup muda-mudi dan remaja dalam masyarakat
kita seolah-olah kempen “Katakan Tak Nak Pada Rokok” giat dijalankan. Sudah tentu, gaya hidup tidak
sihat akan mengundang penyakit seperti Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS), siflis dan lain-
lain. Amalan-amalan sebegini perlu dijauhkan seterusnya mengamalkan cara hidup sihat berdasarkan
norma-norma agama dan budaya timur kita. Lantaran itu, beralihlah kepada cara hidup sihat bagi
mendapatkan kesihatan yang baik sebagaimana kempen “Gaya Hidup Sihat” yang diuar-uarkan oleh
kerajaan. (132pk)

Sebagai kesimpulannya, penjagaan kesihatan perlu menjadi agenda dan keutamaan dalam hidup kita
seharian. Pelbagai langkah boleh diambil untuk memperoleh kesihatan yang baik. Antaranya, menjaga
kebersihan diri dan persekitaran, mengambil pemakanan seimbang dan melakukan kegiatan riadah. Kita
haruslah lebih prihatin dan mengambil berat tentang kesihatan diri agar dapat menjalani kehidupan yang
berkualiti. Individu yang sihat akan mampu memberi sumbangan kepada pembangunan dan
kemakmuran negara selaras dengan slogan, “Rakyat Sihat Negara Sejahtera”. (70pk)

Você também pode gostar