Você está na página 1de 6

Apakah yang dimaksudkan dengan ikhtilat ?

Ikhtilat dari segi bahasa bererti


meramukan, menggaul sesuatu dengan sesuatu yang lain yakni mencampurkannya.
Dari segi istilah syarak pula ikhtilat bermaksud percampuran wanita dengan lelaki iaitu
perkumpulan mereka pada satu tempat, sama ada dalam bentuk kumpulan atau
berdua-duaan.

Persoalannya, mengapakah ikhtilat antara lelaki dan perempuan begitu dititikberatkan


dalam Islam ? Macam inilah. Kalau pergaulan sesama lelaki dan sesama perempuan
tidak perlulah dirisaukan kerana perkara tersebut dijamin tidak akan berlaku perkara
maksiat padanya serta telah pun dibenarkan dan dihalalkan oleh syarak. Oleh hal yang
demikian, persoalan ikhtilat antara lelaki dan perempuan akan dibincang serta
dikupaskan.

Ikhtilat dalam Islam begitu penting bagi menjaga batas-batas antara lelaki dan
perempuan. Semua umat Islam wajib menjaganya. Ikhtilat tidak tertumpu kepada
mereka yang remaja sahaja malah kepada semua golongan yang telah pun baligh sama
ada yang dewasa atau pun yang sudah berusia. Jelas setakat ini ?

✿✿ Jagalah Ikhtilatmu ✿✿

Maksud daripada sabda Rasulullah :

"Tidak boleh seseorang wanita itu bermusafir melainkan dia ditemani


oleh mahramnya. Dan tidak boleh seseorang lelaki berdua-duaan
bersama perempuan kecuali perempuan tadi ditemani oleh mahramnya."

Dalil di atas membuktikan bahawa kita wajib menjaga diri kita yakni menjaga ikhtilat.
Allah melarang serta mengharamkan wanita bermusafir seorang diri tanpa ditemani
mahramnya. Allah juga melarang lelaki dan perempuan duduk berdua-duaan.
Lihat, betapa urusan ikhtilat ini dititikberatkan oleh Allah dan Rasulullah. Siapalah kita
untuk meremehkan perkara ini sebenarnya ? Tepuk dada, tanya iman dan diri.

✿✿ Hindarilah Ikhtilat Bebas ✿✿

Bila sebut hal ikhtilat ni, mungkin ramai daripada kalangan masyarakat kita yang
memandang remeh serta memandangnya sebelah mata sahaja. Zaman moden sekarang
ini, masyarakat sudah tidak lagi memandang soal-soal sebegini. Maklumlah,
diliberalkan Islam pada masa sekarang. Jika ada suara yang menyekat apa jua bentuk
ikhtilat yang dilarang Islam, dikatakan jumud dan konservatif. Alahai, betapa jumudnya
pemikiran masyarakat sekarang.

Apakah hukum ikhtilat sebenarnya ? Pasti semua pembaca tertunggu-tunggu mengenai


hal ini. Hukum asal ikhtilat yakni pergaulan antara leiaki dan perempuan ialah haram.
Oleh hal yang demikian, ia adalah suatu perkara yang wajib dihindarkan kecuali dalam
keadaan terpaksa atau keperluan yang mendesak. Syeikh Abd. Karim Zaidan dalam
kitabnya
al-Mufassat fil Mar'ah yang masyhur menyebutkan contoh-contoh keadaan serta hukum
ikhtilat seperti di bawah :

 Pertama - Harus kerana terpaksa (dhorurah)


 Kedua - Harus kerana keperluan (hajat)

Bagi keadaan yang pertama berlaku kerana tekpaksa seperti yang disebutkan oleh Imam
Nawawi dengan katanya : Berkata ahli mazhab Syaf'ie : Tidak ada perbezaan dalam
pengharaman khulwat (berdua-duaan) sama ada dalam solat atau selainnya.
Dikecualikan daripada hukum ini kedaaan-keadaan dhorurah seperti jika seseorang
lelaki ajnabi mendapati seorang wanita ajnabi bersendirian di jalan, jauh daripada
kumpulan manusia tersebut jika dibimbangi keselamatannya, maka pada ketika itu
wajib tanpa khilaf dia berdua-duaan dengan wanita tersebut dengan tujuan
untuk menemaninya.

Bagi keadaan yang kedua pula, ulama berkata bahawa hajat mengambil peranan
dhorurah dalam mengharuskan perkara yang haram. Di sana dicatatkan beberapa
keperluan yang dianggap mengharuskan ikhtilat antara lelaki dan perempuan.
Antaranya ialah :

 Ikhtilat kerana urusan jual beli yang dibenarkan oleh syarak. Harus
bagi wanita bercampur dengan lelaki semasa berjual-beli, melakukan tawar-
menawar, memilih barang dengan syarat tidak berlaku khulwat (berdua-duaan)
dan memelihara adab-adab pergaulan.
 Ikhtilat kerana melakukan kerja kehakiman. Wanita harus menjadi
hakim dalam perkara selain hudud di sisi Hanafiah dan dalam semua perkara di
sisi az-Dzohiriah dan Imam at-Tobari. Sudah termaklum kerja seperti ini
mengundang percampuran dengan kaum lelaki yang terdiri daripada pendakwa,
tertuduh, saksi dan lain-lain.
 Ikhtilat kerana menjadi saksi kerana Islam mengharuskan wanita
menjadi saksi dalam kes berkaitan dengan harta dan hak-haknya. Hal
ini demikian kerana menjadi saksi akan mendedahkan diri kepada percampuran
dengan lelaki ajnabi.
 Ikhtilat kerana amar makruf nahi munkar. Ibnu Hazmin telah
menyebutkan dalam kitabnya al-Muhalla' bahawa Umar al-Khattab RA telah
melantik as-Syifa' menjadi penguatkuasa perbandaran. Sudah tentu beliau akan
bercampur dengan lelaki ketika menjalankan tugasnya.
 Ikhtilat kerana melayan tetamu. Harus bagi wanita melayan tetamu
bersama suaminya dan jika ada alasan yang syar'ei seperti tujuan memuliakan
tetamu dan sebagainya walaupun terpaksa bercampur dengan tetamu. Dalam
hadis Bukhari, ada diriwayatkan bahawa Ummu Usaid melayani Rasulullah SAW
dengan menghidangkan makanan dan menuangkan minuman untuk baginda
SAW.
 Ikhtilat kerana memuliakan tetamu jika perlu makan bersamanya.
Harus bagi wanita makan bersama tetamu kerana tujuan memuliakan tetamu
atau tujuan lain yang syar'ei. Muslim meriwayatkan kisah satu keluarga yang
ingin memuliakan Rasulullah SAW dan bertamukan baginda. Oleh kerana
makanan yang sedikit, mereka memadamkan api dan memperlihatkan bahawa
mereka makan bersama-sama banginda. Ini bererti bahawa orang Ansor dan
isterinya itu duduk bersama tetamu untuk makan bersama walaupun mereka
tidak makan kerana mereka mengutamakan tetamu.
 Ikhtilat dalam kenderaan awam. Harus bagi wanita keluar rumah kerana
menunaikan kerja-kerjanya yang diharuskan walaupun terpaksa bercampur
dengan lelaki ajnabi seperti keluar untuk menziarahi dua ibu-bapanya, membeli-
belah dan ke hospital meskipun ia terpaksa menaiki kenderaan awam yang
menyebabkan berlaku percampuran dengan penumpang lain dari kalangan lelaki
ajnabi. Dia mungkin duduk atau berdiri ditepinya. Percampuran ini diharuskan
oleh keperluan yang syar'ei.
 Ikhtilat kerana kerja-kerja jihad. Antara contoh pergaulan sewaktu jihad
ialah seperti membawa air, merawat pesakit dan seumpamanya. Semua perkara
tersebut adalah harus dilakukan oleh wanita kerana maslahah syariah. Bukhari
menyebut dalam sahihnya daripada Ar Rabei binti Muawwiz katanya : Kami
bersama Rasulullah SAW merawat pesakit, memberi minum dan menghantar
jenazah yang terbunuh ke Madinah.
 Ikhtilat untuk tujuan belajar atau mendengar nasihat. Antara suasana
yang diharuskan, ikhtilat dengan tujuan mengajar agama kerana Bukhari
meriwayatan bahawa Rasulullah SAW keluar pada satu Hari Raya dan
sembahyang dua rakaat. Setelah selesai solat baginda berpusing mengarah
wanita. Baginda menasihati mereka dan menyuruh mereka bersedekah dan
ketika itu bersama baginda SAW ialah Bilal bin Rabah.
 Ikhtilat dalarn suasana yang telah menjadi adat kebiasaan. Tersebut
dalarn kitab Muwatta'. Persoalan adakah harus bagi wanita makan bersama
hamba atau lelaki bukan mahramnya? Berkata Malik : Tidak ada halangan pada
perbuatan tersebut, jika dalam ruang uruf bahawa wanita makan bersama lelaki
tersebut. Kadang-kadang wanita makan bersama suami dan mereka yang sering
makan bersama suaminya. Antara contoh yang berlaku pada zaman ini ialah
percampuran sewaktu menziarahi sanak saudara atau rakan taulan. Dalam
suasana yang seperti ini akan berlaku percampuran antara lelaki dan perempuan
dalam satu bilik, makan pada satu meja dan sebagainya. Ini semua diharuskan
selama terpelihara adab-adab.

✿✿ Batasilah Ikhtilatmu ✿✿

Jaga serta batasilah diri kita dengan mengamalkan beberapa adab ikhtilat. Antara adab
ikhtilat dalam Islam ialah :

 Tidak bersentuhan antara lelaki dan perempuan.


 Tidak melihat perempuan atau lelaki secara mengamati dan menaikkan syahwat.
 Memelihara aurat dan kehormatan. Aurat lelaki adalah antara lutut dan pusat
manakala aurat perempuan adalah seluruh tubuh badan kecuali muka dan dua
tapak tangan.
 Tidak mengeluarkan kata-kata keji, lucah atau menunjukkan tingkahlaku yang
mendorong kepada melakukan maksiat.
 Tidak berdua-duaan terutama di tempat sunyi dan gelap.

InsyaAllah diri kita akan berada dalam keadaan selamat sekiranya kita mengamalkan
adab-adab ikhtilat dalam Islam. Sayangi serta cintailah diri kita.

✿✿Katakan Tidak Pada Pergaulan Bebas ✿✿

Wahai kaum muslimin dan muslimat sekalian, berhati-hatilah kamu dalam berurusan
sesama berlainan jantina. Boleh jadi urusan kamu mendapat keredhaan Ilahi atau
mendapat yang sebaliknya yakni kemurkaanNya. Oleh hal yang demikian, janganlah
kamu meremeh-temehkan hal ikhtilat.

Katakan tidak pada pergaulan bebas sama ada yang bersederhana atau pun yang
melampaui batasan syarak. Sayangilah agama kita. Sesungguhnya setiap undang-
undang dan hukum-hakam yang diperintahkan ke atas diri kita itu merupakan kebaikan
untuk diri kita juga. Jadi, percayailah Tuhan kita. Setiap yang berlaku itu pasti ada
hikmahnya.
Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan yang mendaoat mardhatillah dan
syurgaNya yang abadi. Jangan sia-siakan usia kita dengan perkara yang tidak diredhai
Ilahi. Ketahuilah bahawa hidup dan mati kita hanya untukNya. Jadi, marilah sama-
sama kita memuhasabah diri kita ke arah kebaikan. Semoga kita semua menjadi insan
soleh dan solehah yang muslih dan memuslihkan. InsyaAllah.

Você também pode gostar