Você está na página 1de 2

MENGURUSKAN MARAH

Oleh: Kamarul Azami bin Mohd Zaini


YDP ABIM Cawangan Kuala Selangor (http://abimdks.blogspot.com)

Kemarahan merupakan suatu sifat yang pasti ada di dalam diri seseorang manusia. Marah
menunjukkan bahawa manusia itu mempunyai perasaan atau emosi yang menggambarkan rasa
tidak senang, tersinggung atau mungkin kerana tertekan disebabkan oleh beberapa perkara. Marah
merupakan sifat yang datangnya dari syaitan. Syaitan diperbuat daripada api, maka untuk
mengatasinya adalah digalakkan kita untuk berwudhu’.

Apabila seseorang itu marah, maka akan jauhlah hatinya daripada Allah s.w.t. Perasaannya
akan dipenuhi dengan api kebencian yang meluap-luap dan akhirnya ia akan melakukan beberapa
tindakan yang mungkin melampaui batasan serta diluar akal tabii manusia. Oleh kerana demikian,
apabila datang perasaan marah, maka hendaklah kita sentiasa mengingati bahawa yang berkuasa
atas segalanya adalah Allah s.w.t. serta sentiasa melihat akan keagungan Allah s.w.t. Cara ini akan
dapat memberikan sedikit ketenteraman dalam menguruskan rasa marah dan secara tidak langsung
mengingatkan diri kita sebagai seorang yang lemah dan kerdil.

Ingatlah, kemarahan yang sebenar hanyalah kemarahan kerana Allah s.w.t. Maksud hadith
yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari menyebutkan bahawa, “Demi Allah, Baginda tidak
pernah marah kerana urusan peribadi yang beliau hadapi kecuali apabila larangan Allah s.w.t.
dilanggar, maka beliau akan marah kerana Allah.” Menahan marah merupakan suatu tuntutan dari
Allah s.w.t.

“.... dan orang yang menahan marahnya dan memberi maaf kepada orang lain dan Allah
mencintai orang yang berbuat kebaikan.” (Ali-Imran: 134)

Hadith yang telah diriwayatkan oleh Ibn ‘Adi pula menyatakan bahawa, “Jika seseorang yang
marah mengucapkan A’uzubillah, nescaya akan reda kemarahannya.” Maka, apabila datangnya
marah, wajarlah kita bersama berlindung dengan Allah s.w.t. dari syaitan yang direjam itu.
Kemudian iatu susulilah keadaan marah itu dengan berdiam diri sebagaimana hadith yang
diriwayatkan oleh Imam Ahmad, “Ajarilah, permudahkanlah dan jangan menyusahkan. Apabila salah
seorang daripada kalian marah, hendaklah diam.”
“Jika salah seorang daripada kamu marah, jika ketika itu dia berdiri maka hendaklah duduk. Jika tidak
hilang juga, maka hendaklah dia berbaring.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Ibn Majah)

1
Hadith di atas menunjukkan bagaimana dari sudut fizikalnya, apabila datang perasaan marah
ia juga boleh dikawal dengan cara mengubahkan posisi badan. Secara logika akal manusia, sifat
marah ini adalah naik darah, dan apabila darah itu naik, maka ia akan menggerakkan seluruh
anggota badan yang lain juga naik. Jika ia tidak dikawal, maka ia akan berakhir dengan pergaduhan.
Tetapi apa yang dicadangkan dan disarankan oleh Rasulullah s.a.w. adalah sesuatu yang berlawanan
dengan fitrah itu. Kemudian, bersabar dan maafkanlah mereka sebagaimana firman Allah s.w.t.;

“Dan jika mereka marah, mereka memberi maaf” (Asy-Syuraa: 37)

Peringatan yang terakhir, usahlah kita berdendam dengan apa yang telah mereka lakukan
terhadap diri kita. Allah s.w.t. telahpun memberikan jalan penyelesaiannya sebagaimana firman
Allah s.w.t. di dalam surah An-Nahl ayat 126 yang bermaksud;

“Dan jika kamu memberikan balasan, maka balaslah dengan balasan yang sama dengan seksaan
yang ditimpakan kepadamu. Jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi
orang-orang yang sabar” (An-Nahl: 126)

Você também pode gostar