Você está na página 1de 5

ASAS TRANSFORMASI

OLEH: DANIEL JEBON JANAUN1

PENGENALAN

Segala sesuatu ada asasnya. Ibarat membina sebuah rumah, asas rumah tersebut perlu kukuh.

Jika asasnya tidak kukuh, rumah itu boleh runtuh dan binasa. Namun, asas yang kukuh masih

belum cukup untuk memastikan sesebuah rumah itu selamat dihuni. Rumah itu perlu dibina

dengan menggunakan bahan binaan yang bermutu dan mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Hanya dengan gambaran yang jelas mengenai keadaan rumah yang ingin dibina itu yang akan

memungkinkan rumah itu dapat dibina dengan teguh dan mantap. Oleh sebab itu, membina

rumah yang indah dan tahan lama memerlukan perancangan yang teliti. Perancangan itulah yang

akan memastikan sama ada rumah itu akan dibina berdasarkan spesifikasi reka bentuk dan bahan

yang diperlukan ataupun tidak. Malangnya, ramai orang membina rumah tanpa membuat

perancangan yang teliti. Kegagalan ini mungkin berlaku kerana tiada pengetahuan dan

kemahiran berkaitan dengan pemikiran strategik dalam diri individu berkenaan.

1
Penulis bertugas di Sektor Jaminan Kualiti, Jabatan Pelajaran Negeri Sabah sebagai Penolong Pengarah Pelajaran.
Buku motivasi beliau yang terkini termasuklah Ruang Jadi Peluang dan Kegagalan Bina Kejayaan yang diterbitkan
oleh Grup Buku Karangkraf Sdn. Bhd.
Pemikiran strategik itu diperlukan dalam kehidupan kita sehari-hari. Pemikiran strategik

merupakan asas yang penting bagi seseorang untuk melakukan anjakan paradigma. Tiada

anjakan paradigma yang dapat dilakukan bagi menangani cabaran jika seseorang gagal berfikir

secara strategik. Pemikir strategik adalah orang yang berfikir di luar dari kebiasaan. Pemikir

strategik adalah individu yang menitikberatkan strategi. Ia berusaha memikirkan strategi terbaik

bagi menangani masalah secara reaktif mahupun memikirkan strategi bagaimana memajukan

dirinya secara proaktif.

Memang diakui bahawa tidak semua orang mampu berfikir dengan kritis dan kreatif, apalagi

mampu berfikir secara strategik. Namun, berita baiknya ialah pemikiran strategik itu boleh

dipelajari. Menyedari pentingnya pemikiran strategik itu bagi seseorang individu, maka setiap

individu seharusnya mengambil daya usaha yang bersungguh-sungguh untuk meningkatkan

keupayaan pemikiran strategik masing-masing. Dalam konteks ini, isunya bukan sama ada anda

perlu memiliki kemahiran pemikiran strategik atau tidak; sebaliknya isunya ialah sama ada anda

mahu atau tidak. Jika anda mahu, pastilah anda akan menemui jalan ke arah mencapainya. Usaha

yang bersungguh-sungguh akan berjaya mencapai hasil yang anda hasratkan.

TRANSFORMASI PERLU DIRANCANG

Asas bagi transformasi seseorang tidak lain dan tidak bukan adalah pemikiran. Yang

membezakan manusia dengan makhluk hidup yang lain terletak pada mindanya. Dalam

hubungan ini, transformasi individu perlu dirancang dengan sebaik-baiknya. Individu pada masa

ini berdepan dengan cabaran dalaman dan luaran yang kompleks. Ini menuntut setiap individu

bersedia berubah kerana perkembangan baru dalam setiap aspek kehidupan kita memerlukan
tindakan yang progresif dan kreatif. Perubahan persekitaran ekoran ledakan teknologi maklumat

dan komunikasi, serta perubahan ekonomi yang tidak menentu memerlukan setiap insan

melakukan anjakan paradigma. Tujuan anjakan paradigma tersebut dilakukan kerana isu dan

masalah yang didepani tidak boleh diselesaikan dengan menggunakan pendekatan berfikir cara

lama. Hanya dengan mengubah cara berfikir maka pelbagai strategi baru untuk penambahbaikan

dapat dilahirkan. Hal ini demikian kerana setiap isu dan masalah yang dihadapi oleh individu

memerlukan cara berfikir yang berbeza.

PEMIKIRAN MANUSIA ITU UNIK DAN LUAR BIASA

Saya ingin menyatakan kepada anda bahawa pemikiran manusia itu unik dan luar biasa. Manusia

boleh berfikir dengan pelbagai cara dan pendekatan untuk menangani sesuatu isu yang timbul.

Minda manusia mencetuskan strategi yang baru untuk mengatasi masalah yang sekian lama

menghantui dirinya sendiri ataupun sesebuah organisasi, di mana ia berada. Maka pelaksanaan

terhadap strategi terpilih yang dikenal pasti itu akan menghasilkan impak yang amat diharapkan.

Kunci kepada kenyataan ini ialah pemimpin dan anggota organisasi perlu berfikir dengan serius

dan mendalam untuk menangani sesuatu isu strategik. Sesuatu isu strategik itu tidak mungkin

boleh diselesaikan tanpa memikirkan masalah sebenar yang menyebabkan timbulnya isu

tersebut.

Sehubungan itu, setiap individu perlu berfikir secara strategik untuk mengenal pasti masalah

sebenar. Namun, sebagai pemikir strategik, anda tidak wajar terlalu memberi tumpuan kepada

masalah sehingga anda menghabiskan masa anda untuk memikirkan masalah itu, namun

akhirnya anda tidak juga dapat menyelesaikannya secara berkesan. Sebaliknya, seorang pemikir
strategik memberikan tumpuan terhadap strategi yang diambil untuk menangani isu dan masalah

yang timbul. Seharusnya, seluruh kekuatan pemikiran anda ditumpukan kepada strategi untuk

menang dan berjaya.

Kemenangan dan kejayaan anda mendapatkan idea bagaimana meningkatkan kualiti,

produktiviti, dan pencapaian anda dan organisasi anda merupakan sesuatu yang amat dinanti-

nantikan. Hidup kita ini bukan sekadar reaktif kepada isu dan masalah tetapi proaktif. Jika kita

reaktif dan proaktif sekali gus, kita akan mewujudkan transformasi yang besar-besaran dalam

kehidupan kita baik secara individu mahupun organisasi. Idea itu pula perlu direalisasikan

dengan komitmen seluruh anggota organisasi itu mencapai visi, misi, dan matlamat organisasi

yang telah diputuskan.

BERFIKIR DI LUAR KOTAK

Persoalannya, bagaimana cara seseorang itu berfikir? Ramai orang berfikir cara biasa dengan

menggunakan alat pemikiran yang biasa. Dengan cara tersebut, idea yang dihasilkan adalah idea-

idea yang sama seperti yang lalu yang pastinya akan mendorong seseorang itu bertindak dengan

cara yang sama seperti yang dilakukan sebelum ini. Namun, keadaan persekitaran yang

kompleks dengan aspirasi pelanggan yang tinggi, menuntut kita untuk menghasilkan perubahan

terhadap cara kita berfikir. Dengan perubahan ini diharapkan organisasi akan berjaya

ditransformasikan menjadi organisasi yang maju dan cemerlang.

Untuk menghasilkan gelombang transformasi individu mahupun organisasi dengan gelombang

yang besar, seseorang itu perlu berfikir di luar kotak kebiasaan. Tiada organisasi yang berjaya
yang tidak melakukan anjakan terhadap pemikiran pemimpin dan anggota organisasinya. Tugas

pemimpin dan anggota organisasi bukan hanya untuk menangani sesuatu masalah, sebaliknya

mencari pelbagai idea dan usaha supaya organisasi itu kekal relevan, signifikan, dan maju pada

masa ini dan akan datang. Pemikiran di luar kotak hanya boleh dilakukan jika kita tidak berpuas

hati terhadap hasil yang kita peroleh ekoran daripada pendekatan cara berfikir lama yang kita

amalkan. Jika kita berasa bahawa kita ingin memperoleh sesuatu yang lebih besar atau sesuatu

yang lebih baik daripada apa yang biasa kita peroleh, maka kita perlu berfikir di luar kotak

pemikiran biasa.

PENUTUP

Makalah ringkas ini menjelaskan betapa pentingnya individu melakukan transformasi. Asas

transformasi dikaitkan dengan pemikiran. Untuk menangani sesuatu masalah atau cabaran,

seseorang itu harus berfikir di luar kotak. Pemikiran di luar kotak mempunyai faedah yang amat

besar kerana strategi baru dapat dimajukan jika setiap pemimpin dan warga pendidikan

seluruhnya mampu berfikir di luar kotak kebiasaan. Namun, saya ingin menegaskan kepada anda

bahawa pemikiran di luar kotak akan berlaku jika anda ingin melakukannya. Ia adalah komitmen

dari dalam diri anda untuk mencari strategi yang lebih baik, lebih berkesan, lebih jimat, lebih

produktif, lebih cekap, dan seumpamanya.