Você está na página 1de 11

UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS

TANJUNG MALIM PERAK

TENAGA KERJA ASING DI


MALAYSIA
LGM5023: ISU-ISU KONTEMPORARI DALAM GEOGRAFI

6/5/2010

Oleh:
MOHAMED NARAZID BIN MOHD DAN
MRSM KUALA TERENGGANU
L20081002704
narazid@hotmail.com
013-9230788

Pensyarah:
Y.BHG. PROFESOR DR. AZIZI BIN MUDA
azizi.muda@fssk.upsi.edu.my

DPLI MARA-UPSI SESSI 2008/2010


LGM5023: ISU KONTEMPORARI DALAM GEOGRAFI [DPLI MARA-UPSI SESSI 2008/2010]

PENDAHULUAN

Isu tenaga kerja asing bukanlah satu perkara baru di negara kita. Kebanjiran pekerja asing
semakin meningkat dari hari ke hari dan menjadi satu masalah kepada negara. Pekerja asing
kebanyakannya datang dari negara yang mempunyai masalah dalaman seperti Indonesia,
Filipina, Bangladesh, India, Myanmar, Vietnam, dan yang terbaru dari China. Berdasarkan
statistik 2007 Jabatan Imigresen,Malaysia jumlah pekerja asing mencecah 1.91 juta. Jumlah itu
tidak termasuk lebih 400,000 pendatang asing yang dipercayai memasuki negara ini secara
haram serta hampir 10,000 tahanan di depoh imigresen.

Pertambahan pekerja asing dijangka meningkat secara mendadak berikutan pelaksanaan


pelbagai projek pembangunan sepanjang Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Statistik
unjuran kadar pertambahan penduduk menunjukkan menjelang 2009 pekerja asing di negara ini
akan melebihi dua juta orang berbanding penduduk negara ini dijangka meningkat unjuran
kepada 28.306 juta. Bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar
berkata pertambahan pekerja asing memang tidak dapat dielakkan, terutama dalam RMK-9
yang memerlukan lebih 1.2 juta pekerja baru bagi memastikan semua sektor dapat digerakkan
dengan lancar. (Berita Harian, 12 Jun 2007)

FAKTOR KEDATANGAN TENAGA KERJA ASING DI MALAYSIA

Terdapat beberapa faktor kedatangan tenaga kerja asing ke Malaysia yang mana ianya meliputi
faktor ekonomi, faktor sosiobudaya dan faktor politik.

· Faktor ekonomi
Faktor ekonomi merupakan faktor utama yang meyumbang kepada berlakunya proses
penghirahan pekerjaan ini khususnya ke Negara Malaysia. Kedudukan ekonomi yang
mantap dan kukuh menyebabkan wujudnya banyak sektor-sektor pertanian, pembinaan
dan perkilangan, sekaligus membuka peluang kepada rakyat sesebuah negara
termasuk juga golongan pendatang yang datang khususnya untuk mencari rezeki di
negara orang.

2
LGM5023: ISU KONTEMPORARI DALAM GEOGRAFI [DPLI MARA-UPSI SESSI 2008/2010]

Peluang pekerjaan juga wujud bagaikan "cendawan selepas hujan" disebabkan ramai
rakyat tempatan tidak berminat lagi berkecimpung di dalam sektor perladangan dan
pembinaan, maka kedatangan penghijrah dari Indonesia, Bangladesh dan lain-lain
negara, in seolah-olah satu rahmat kepada para pengusaha sektor tersebut.

Kedatangan golongan pendatang ini terbatas kerana kesukaran untuk masuk secara
sah ke dalam sesebuah negara. Sebagai contoh negara kita Malaysia, walaupun
berbagai kawalan ketat telah dijalankan namun sempadan dan perairan negara mudah
dibolosi oleh mereka secara haram. Salah satu sababnya ialah wujudnya tekong darat
dan laut samada dari golongan mereka sendiri ataupun penduduk tempatan yang
menjalankan kegiatan ini semata-mata kerana tamakkan wang ringgit. (Utusan
Malaysia, 13 Julai 2009)

· Taraf ekonomi yang rendah di negara sendiri.


Bagi negara Malaysia khususnya, kemakmuran ekonomi seringkali dijadikan alasan
untuk menjelaskan mengapa negara ini menarik perhatian ramai rakyat Indonesia dan
Bangladesh malah termasuk juga negara-negara yang mengalami taraf ekonomi yang
gawat.

Sejak berlakunya kegawatan ekonomi di rantau Asia ini yang menyebabkan jatuhnya
nilai mata wang negara-negara dunia ketiga, dengan secara tidak langsung harga-harga
barangan di pasaran meningkat dengan mendadak, maka ini juga merupakan salah satu
faktor migrasi berlaku. Taraf kehidupan semakin tinggi jadi sebagai alternatifnya mereka
terpaksa mencari rezeki untuk menampung perbelanjaan keluarga masing-masing,
memandangkan taraf ekonomi negara mereka yang rendah maka wujudlah migrasi ke
negara-negara yang menyediakan peluang pekerjaan yang banyak kepada mereka.

Bilangan penduduk yang ramai dengan pertumbuhan ekonomi yang tidak seimbang di
negara asal mereka, menyebabkan golongan ini terpaksa mencari alternatif lain untuk
meneruskan kehidupan. Oleh itu jalan yang paling mudah ialah merebut kesempatan
yang ada di negara yang menjanjikan pendapatan yang lumayan.

3
LGM5023: ISU KONTEMPORARI DALAM GEOGRAFI [DPLI MARA-UPSI SESSI 2008/2010]

· Faktor sosiobudaya
Sebenarnya faktor sosiobudaya juga memainkan peranan utama menyebabkan
pendatang Indonesia semakin bertambah dari hari ke hari ke negara kita. Bahkan boleh
dikatakan faktor sosiobudaya ini memainkan peranan yang sama pentingnya dengan
faktor ekonomi, mennjadi daya tarikan kepada pendatang Indonesia ini.

Faktor persamaan sosiobudaya antara kedua-dua negara akan selamanya didapati


menjadi daya tarikan untuk mereka datang ke negara ini.Dengan adanya persamaan
ciri-ciri ini proses untuk mereka menyesuaikan diri akan berjalan dengan lancar.
Keupayaan mereka menyesuaikan diri dengan kehidupan di negara ini merupakan
"pasport" utama, membolehkan mereka mengekalkan dan mempertahankan kedudukan
mereka di negara ini.

Hubungan kekeluargaan yang ada didapati sering dijadikan sebagai batu loncatan
dikalangan pendatang baru untuk berhijrah ke negara ini. Penghijrahan kaum keluarga
terdahulu seolah-olah membentuk satu rangkaian yang memudahkan kedatangan
penghijrah lain.Tambahan pula terdapat sebilangan pendatang yang telah mendapat
taraf penduduk tetap negara ini, membolehkan mereka ini secara tidak langsung
membawa masuk kaum keluarga mereka yang lain.Hal ini dipermudahkan lagi jika
pendatang Indonesia tersebut mempunyai sanak saudara yang terdiri daripada rakyat
tempatan.

Persamaan cara hidup di kalangan rakyat Malaysia dan rakyat Indonesia, salah satu
faktor yang dikenal pasti mengapa pendatang Indonesia lebih tertarik datang ke negara
ini. Dari segi budaya, penduduk yang berbilang kaum, bahasa, makanan, dan
kebebasan beragama merupakan antara ciri-ciri yang mempunyai persamaan yang erat
antara penduduk kedua-dua negara. Keupayaan mereka menyesuaikan diri dengan
masyarakat setempat dapat mengelakkan daripada timbulnya konflik yang besar.

Persamaan bahasa yang ada memudahkan golongan pendatang ini berinteraksi


dengan masyarakat tempatan. Keadaan ini membolehkan mereka berada di negara
sendiri. Golongan pendatang Indonesia ini juga mudah tinggal di negara kita disebabkan
warga besar mereka yang datang adalah beragama Islam.

4
LGM5023: ISU KONTEMPORARI DALAM GEOGRAFI [DPLI MARA-UPSI SESSI 2008/2010]

Persamaan agama ini juga memainkan peranan yang agak besar menjadi daya penarik
kedatangan golongan ini. Atas dasar saudara di dalam Islam maka sedikit sebanyak
kehadiran golongan ini dapat diterima oleh masyarakat tempatan khususnya di kalangan
masyarakat melayu. Kebebasan beragama yang diamalkan di Malaysia secara harmoni
dan dihormati oleh semua kaum, menguatkan lagi tarikan untuk datang ke negara ini.

· Faktor kestabilan politik


Kestabilan politik sesebuah negara memainkan peranan yang penting dan berkait rapat
dengan ekonomi negara dan proses migrasi antarabangsa. Sebuah negara yang aman
dan makmur secara tidak langsung dapat mengelakkan berlakunya migrasi penduduk
negara tersebut ke negara lain, sebaliknya menyebabkan penduduk negara lain
berhijrah ke negara tersebut.

Dari segi kajian yang telah dibuat menunjukkan ketidakstabilan politik sesebuah negara
menyebabkan peratus migrasi yang tinggi, ini dapat dilihat pada negara-negara seperti
Indonesia, Bangladesh, Filipina, Thailand dan lain-lain yang berhijrah ke Malaysia
secara haram.(Rujuk Jadual 1).

Jadual 1: Tangkapan bagi kesalahan Imigresen 1995-1997.

WARGANEGARA 1995 1996 1997

Indonesia 33258 41766 25237

Bangladesh 13389 7380 5735

Thailand 3009 1680 4705

Filipina 6304 5300 938

Pakistan 1213 501 1493

* Lain-lain 6248 5491 7817

Jumlah 65823 64458 45925

Jadual 1 * Eropah, Komanwel negara-negara merdeka (CIS), Afrika dan Amerika Selatan.

5
LGM5023: ISU KONTEMPORARI DALAM GEOGRAFI [DPLI MARA-UPSI SESSI 2008/2010]

Rajah X: Faktor Kedatangan Tenaga Kerja Asing di Malaysia

KESAN TENAGA KERJA ASING KEPADA NEGARA

KESAN EKONOMI

Kemasukan pekerja asing ke Malaysia bukan lagi perkara yang boleh dipandang remeh.
Keadaan ini adalah ekoran dari banyaknya peluang penyelewengan yang terbuka dalam isu
pendatang asing. Kebergantungan kepada tenaga asing yang tidak mahir dan aturan ekonomi
berasaskan sumber manusia yang tidak bermutu akan menjejaskan nilai ekonomi itu sendiri.
Jelas kepada kita bahawa lambakan pekerja asing tidak terlatih sebenarnya menjurus kepada
permasalahan dan bahaya yang tidak dijangka kepada persaingan ekonomi. Kecenderungan
menggunakan pekerja yang murah bagi mengurangkan kos operasi membantutkan peluang
rakyat negara kita memperoleh pekerjaan dan pembangunan teknologi kerana tindakan ini telah
menyekat permintaan terhadap pekerja mahir dan pakar dari bersaing seiring dengan
perkembangan ekonomi. Ekonomi menjadi cenderung kepada penggunaan buruh
mengakibatkan permintaan terhadap pekerja mahir makin berkurangan. Perkara ini juga
merupakan salah satu punca yang menyumbang kepada peningkatan pengangguran di
kalangan siswazah atau berpendidikan berlaku.

6
LGM5023: ISU KONTEMPORARI DALAM GEOGRAFI [DPLI MARA-UPSI SESSI 2008/2010]

Kebergantungan kepada pekerja asing akan memberi beban kepada pasaran kerana tumpulnya
keupayaan bersaing ekonomi Malaysia. Tambahan pula dengan kemungkinan tekanan
kesatuan sekerja dan politik antarabangsa, lama kelamaan Malaysia tidak berupaya lagi
menafikan penglibatan buruh asing dalam aturan ekonominya. Apabila kegiatan ekonomi tiada
peluang untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, perkembangan ekonomi
akan tersekat di dalam pusingan tidak produktif dan mengabaikan persaingan pasaran.
Tumpuan kerajaan kepada pembangunan sesuatu bidang seperti pembinaan, perladangan dan
pertanian yang berasaskan buruh tidak mahir akan meningkatkan permintaannya dan desakan
untuk perkembangan teknologi akan terjejas. Keseimbangan ekonomi tidak berlaku begitu
sahaja tanpa perancangan. Sekiranya gunatenaga sudah tidak seimbang, bagaimana hasrat
susunan ekonomi yang seimbang boleh tercapai di negara kita.

Apa yang sering dijadikan alasan untuk menggunakan pekerja asing ialah sikap pekerja
tempatan. Sikap pekerja tempatan yang enggan melakukan kerja-kerja kasar dan lasak atau
tidak ada kelas merupakan permulaan kepada tindakan atau tekanan untuk mencetuskan buah
fikiran baru dalam pembangunan tekonologi. Sekiranya terdapat bidang yang tiada tekanan
sebegini serta mudah beralih kepada tenaga pekerja asing tidak mahir, suasana ekonomi akan
mengundur ke belakang dan akan ketinggalan.

KESAN SOSIAL

Malaysia menerima berjuta pekerja asing manakala dalam masa yang sama pula usaha
memiliki atau mengembalikan pekerja rakyat tempatan dilihat kurang berkesan ketika ini.
Akhirnya pendekatan untuk mencambahkan pekerja tempatan tersekat dan yang mengalir
masuk pula adalah buruh asing yang lebih membarahkan penyakit sosial. Laporan berhubung
gejala sosial dan jenayah dalam masyarakat di kalangan pekerja asing amat ditakuti
mengancam kehidupan dan tata susila masyarakat Malaysia. Peningkatan kes-kes jenayah
seperti pembunuhan, kecurian dan pergaduhan di kalangan pendatang asing amat merisaukan.
Begitu juga dengan menularnya penyakit yang berbahaya seperti batuk kering ekoran dari
penghijrahan mereka yang gagal dikesan atau terbolos dari saringan kesihatan. (Usman
Yaakob dan Tarmiji Masron, 2009)

7
LGM5023: ISU KONTEMPORARI DALAM GEOGRAFI [DPLI MARA-UPSI SESSI 2008/2010]

Penduduk tempatan akan merasa keselamatan dan kehidupan sosial mereka tergugat dengan
kebanjiran pekerja asing. Kehadiran pekerja asing ketika ini menimbulkan pelbagai kes-kes
jenayah dan inilah yang akan mendatangkan ketidakselesaan penduduk tempatan tentang
keburukan pekerja asing. Menurut Jabatan Imigresen (2006) dengan kerjasama Jabatan Polis,
sehingga 30 Jun 2006 bilangan pendatang asing yang telah ditahan dan diusir di seluruh
Malaysia ialah seramai 362,958 kerana melakukan pelbagai kesalahan di negara ini.

Selain itu, fenomena kebanjiran tenaga kerja asing boleh mengakibatkan gejala-gejala yang
tidak diingini berlaku seperti penyakit AIDS dan sebagainya. Selain daripada itu terdapat juga
laporan tentang segelintir tenaga kerja asing yang cuba menyebarkan agama lain kepada
masyarakat Melayu yang beragama Islam di Malaysia. Jika ini berlaku, sudah tentu akan
menimbulkan konflik sosial yang serius pada masa akan datang yang sekaligus akan
mengancam keselamatan negara.

KESAN POLITIK

Kalau dilihat dari segi politik dan pentadbiran, Kehadiran tenaga kerja asing yang terlalu ramai,
boleh menggugat kestabilan politik negara. Kegagalan pihak berkuasa menggubal satu undang-
undang dan sekaligus mengawal kemasukan buruh asing ini dan merekodkan dengan
sempurna ,secara tidak langsung pandangan orang luar terhadap pentadbiran dan peranan
masyarakat umum negara kita terlalu lemah. Ini dapat dilihat, sekiranya terdapat tenaga kerja
asing di Malaysia yang menyerupai penduduk tempatan baik dari segi budaya dan fizikal.
Situasi ini dapat mewujudkan kekeliruan tentang status kerakyatan dan seterusnya penyertaan
mereka dalam politik. (Usman Yaakob, 2008)

Kita ketahui bahawa di bawah Perundangan Malaysia, setiap warganegara asing boleh
memohon untuk menjadi rakyat Malaysia dan salah satu keperluan perundangan ini ialah
memiliki kad pengenalan. Walaupun ini merupakan syarat asas untuk menjadi rakyat Malaysia
dan perlu mengikut prosedur-prosedur yang tertentu untuk mencapai taraf kerakyatan, namum
begitu kejadian kad pengenalan palsu amat berleluasa dewasa ini. Banyak terdapat sungutan
kononya ada satu sindiket yang terdiri dari rakyat Malaysia sendiri yang berani mengeluarkan

8
LGM5023: ISU KONTEMPORARI DALAM GEOGRAFI [DPLI MARA-UPSI SESSI 2008/2010]

permit palsu semata-mata untuk memudahkan buruh asing ini masuk ke negara ini. Malah ada
kemungkinan juga berlakunya penyelewengan di kalangan rakyat Malaysia sendiri, barangkali
ada yang terlibat dalam kes seperti ini hingga membolehkan buruh asing ini mendapatkan visa
dan kad pengenalan dengan mudah.

KESIMPULAN

Pengurusan tenaga kerja asing di Malaysia memerlukan pola baru yang lebih tersusun dan
sesuai dengan peredaran ekonomi semasa. Ketetapan yang dibuat perlu lebih cenderung
kepada mengurangkan tenaga kerja asing dan meningkatkan tenaga kerja tempatan yang boleh
menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara untuk jangka masa panjang. Kita perlu
menyedari bahawa Negara kita telah 'mengimport' masuk pekerja asing yang murah serta tidak
mahir dan 'mengeksport' pekerja mahir dan pakar tempatan keluar. Tawaran dan faedah yang
disediakan oleh negara lain terutamanya negara maju terhadap tenaga mahir dan pakar rakyat
Malaysia ternyata lebih tinggi dan menarik.

Di dalam Rancangan Malaysia ke-9, susunan keutamaan dari sudut perlaksanaan hendaklah
seiring dengan misi nasional mengikut teras yang telah digariskan. Negara perlu
mengutamakan usaha meningkatkan nilai tambah dalam ekonomi berbanding agenda
sampingan. Dasar-dasar kementerian atau jentera kerajaan juga perlu diselaraskan supaya
seiring dengan misi nasional termasuklah dasar gunatenaga negara. Rangka ekonomi Malaysia
perlu diperbaiki supaya tidak terlalu bergantung kepada pekerja asing yang jelas merentap
keupayaan daya saing dalam jangkamasa panjang khususnya kepada tenaga kerja tempatan.
Itulah sebenarnya harga perkhidmatan pekerja asing yang kita perlu bayar. Aturan sumber
manusia yang menjadi teras pembangunan ekonomi menyeluruh perlu dinilai semula supaya
sesuai dengan cabaran semasa dan kepentingan rakyat Malaysia.

Walaupun kedatangan tenaga kerja asing yang terlalu padat dan sering diperdebatkan di dalam
parlimen oleh pemimpin kita, namun masalah ini masih lagi ditakuk lama, tiada jalan
penyelesaian yang dapat membendung gejala ini dengan betul-betul berkesan. Masih ramai lagi
pendatang asing yang berhijrah ke sini terutama sekali di Kuala Lumpur, malah tanpa perasaan

9
LGM5023: ISU KONTEMPORARI DALAM GEOGRAFI [DPLI MARA-UPSI SESSI 2008/2010]

takut dan segan silu mereka mewujudkan perkampungan sendiri yang terasing daripada
penduduk tempatan.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa pada peringkat awalnya, kedatangan mereka ini adalah
berdasarkan keperluan negara kita sebagaimana yang termaktub di dalam perjanjian yang
ditandatangani antara Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Musa Hitam dengan Menteri
Tenaga Manusia Indonesia, Encik Sudomo di Medan, Indonesia pada 12 Mei 1984. Menurut
perjanjian ini, kemasukan buruh-buruh Indonesia hanyalah berdasarkan syarat-syarat tertentu
yang dibuat oleh Malaysia sendiri. Buruh-buruh dari negara jiran itu akan hanya dibawa masuk
jika pekerjaan yang ada tidak dapat ditampung oleh penduduk tempatan sendiri. Namun begitu
apa yang terjadi adalah sebaliknya, kemasukan mereka langsung tidak terkawal di mana
bilangannya telah melebihi daripada keperluan negara kita yang sebenar. Justeru itu, langkah
yang tepat perlu diambil dalam menangani permasalahan ini supaya kemasukan tenaga kerja
asing samada yang sah dan tidak sah yang berleluasa di negara ini dapat dibendung secepat
mungkin.

10
LGM5023: ISU KONTEMPORARI DALAM GEOGRAFI [DPLI MARA-UPSI SESSI 2008/2010]

RUJUKAN

…………………..(2007). Statistik Tenaga Buruh Asing. Jabatan Imigresen Malaysia.

…………………..(2008). Rancangan Malaysia ke-9 (RMK9)

…………………..(2007). Berita Harian. Kebanjiran pekerja asing di Malaysia. 12 Jun.

…………………..(2009). Utusan Malaysia. Lambakan pekerja asing. 13 Julai.

Usman Yaakob (2008). Realiti sebalik pendatang asing tanpa izin. Pusat Pengajian Ilmu
Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia.

Usman Yaakob dan Tarmiji Masron (2008). Isu-isu kependudukan dan migrasi di
Malaysia. Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia.

United Nations (1999) World Population Prospects The 1998 Revision, New York.

McCall, G. (1991) The Future of Migration in the Pacific and Asia, International
Migration Review, 25 (3): 620-624.

11