Você está na página 1de 14

TZ10103

TOPIK 4: ORGANISASI KURIKULUM SEKOLAH


RENDAH
__________________________________________________

HASIL PEMBELAJARAN
Di akhir pengajaran dan pembelajaran, para pelajar akan dapat;

1. Memahami konsep organisasi kurikulum sekolah rendah.


2. Memahami peranan organisasi kurikulum sekolah rendah dalam pencapaian
matlamat dan objektif pendidikan negara.
3. Mengaplikasikan pengurusan yang efektif dalam organisasi kurikulum
sekolah rendah.
4. Mengetahui organisasi kurikulum sekolah rendah dan peranan sekolah dalam
melaksanakan kurikulum.

PENGENALAN

Organisasi Kurikulum Sekolah Rendah beroperasi secara menyeluruh di sekolah.


Pelaksanaannya adalah berdasarkan kepada semua aspek pendidikan yang disyorkan oleh
Kementerian Pelajaran Malaysia. Sekolah sebagai sebuah organisasi pendidikan yang
bertanggungjawab, sering diperkatakan oleh berbagai-bagai golongan masyarakat. Bahkan
jika dibandingkan dengan organisasi-organisasi lain dalam mana-mana masyarakat pun,
sekolah lebih banyak mendapat perhatian dengan pelbagai kajian, analisis, perbincangan dan
juga kritikan. Orang ramai sama ada mempunyai anak yang sedang belajar di sekolah atau
tidak, terlalu peka terhadap apa yang berlaku di sekolah kerana mereka merasakan bahawa
sekolah adalah organisasi yang menjadi milik mereka bersama. Justeru itu, mereka sering
melahirkan rasa ketidakpuasan hati melalui media massa, dalam majlis-majlis mesyuarat,
seminar, dialog dan sebagainya, termasuklah juga dalam perbualan seharian.

UMS
TZ10103

Bila sekolah diperkatakan maka sudah tentulah Pentadbir menjadi bahan dan sasaran kritikan
dan sungutan tersebut. Ini kerana mereka menganggap bahawa kekurangan dan kelemahan
sesebuah sekolah itu adalah berpunca dari kelemahan dan kekurangan pengurusan dan juga
pentadbirannya dari aspek organisasi kurikulum sekolah rendah. Dengan itu dapatlah dilihat
betapa beratnya beban tugas dan tanggungjawab seorang Pentadbir dan guru-guru sekolah
yang memainkan pelbagai peranan seperti seorang pemimpin, pengurus, pentadbir, pengelola,
perancang, penyelia, pengawal, penilai dan sebagainya dalam menjayakan kurikulum sekolah
rendah dengan organisasi yang mantap. Tugas dan tanggungjawab ini kian hari kian mencabar
ke arah positif untuk pentadbir di peringkat Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan
Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah, sekolah dan seterusnya kepada para guru.

Dalam konteks negara kita hari ini cabaran tersebut menjadi lebih hebat lagi dengan
wujudnya perkembangan dan peluasan pendidikan dalam jangkamasa beberapa tahun
kebelakangan ini. Kementerian Pelajaran Malaysia, JPN, PPD, Pentadbir dan guru-guru
memikirkan bagaimana hendak meningkatkan kualiti prestasi atau pencapaian murid-
muridnya dalam bidang akademik dan dalam peperiksaan awam tetapi juga mesti memberi
pertimbangan dan perhatian yang sewajarnya terhadap pencapaian matlamat dan Falsafah
Pendidikan Negara keseluruhannya yang seharusnya dijelmakan dalam semua bentuk
perancangan dan tindakan yang dilakukannya.Maka, organisasi kurikulum sekolah rendah
memainkan peranan yang penting untuk melicinkan pencapaian matlamat dan objektif
pendidikan negara kita.

Prestasi sesebuah sekolah biasanya dihubungkaitkan dengan prestasi Pentadbir sebagai


seorang pemimpin, pengurus, pentadbir dan pendidik. Pengurusan sekolah yang baik dan
kewujudan iklim organisasi kurikulum sekolah rendah yang sesuai serta kondusif dengan
pengajaran dan pembelajaran bergantung kepada kualiti kepimpinan, kewibawaan dan
kemampuan Pentadbir. Dalam banyak hal Pentadbir merupakan orang yang paling penting
dan berpengaruh di sesebuah sekolah. Beliau bertanggungjawab bagi semua kegiatan yang
berlaku di sekolah dan sekitarnya. Kepimpinannya menentukan arah organisasi kurikulum
sekolah rendah, gaya sesebuah sekolah, iklim pembelajaran, tahap profesionalisme guru-guru
dan darjah keprihatinan mereka terhadap kesan pembelajaran kepada murid-muridnya.

UMS
TZ10103

Pentadbir juga merupakan orang perantaraan utama organisasi kurikulum sekolah rendah di
antara sekolah dan masyarakat dan cara yang ditunjukkannya dalam kemampuan dan
kedudukannya yang sedemikian, sebahagian besar menentukan sikap ibu bapa dan murid
terhadap sekolah. Jika sesebuah sekolah itu berkemampuan menjadi tempat yang dapat
memberi peranan kepada murid mempunyai reputasi yang terbaik mengikut kemampuannya,
maka orang boleh menyatakan dengan tegas bahawa kepimpinan Pentadbir itu merupakan
kunci kejayaan. Sebagai organisasi kurikulum sekolah rendah, pengurusan sekolah bukan
sahaja sangat luas, tetapi unik dan kompleks. Di sekolah rendah berbagai-bagai kegiatan
dirancang dan dilaksanakan, yang diarahkan kepada pencapaian matlamat mendidik murid-
murid supaya menjadi manusia yang sempurna, seimbang dan harmonis dari semua segi:
intelek, rohani, jasmani, emosi, bakat, akhlak, nilai-nilai estetika dan sosial yang dicerna
melalui tiga bidang asas kurikulum iaitu komunikasi, alam dan manusia dan perkembangan
individu.

Kegiatan-kegiatan itu boleh digolongkan kepada dua bidang utama dalam organisasi
kurikulum sekolah rendah. Pertama ialah bidang kurikulum, yang dilaksanakan melalui
pengajaran dan pembelajaran. Pelaksanaan kegiatan-kegiatan begini memerlukan suasana
iklim dan keadaan yang sesuai, kondusif dan menyumbang terhadap pencapaian matlamat
pendidikan. Bidang yang kedua ialah kegiatan pengurusan dan pentadbiran yang dilakukan
untuk menyumbang ke arah menyedia dan mewujudkan suasana dan iklim yang diperlukan
itu. Walaupun mengajar dan mengurus tidak dapat dipisahkan tetapi tidaklah pula semestinya
tidak boleh dibezakan kegiatannya. Kegiatan mengajar yang baik disokong oleh pengurusan
yang baik akan menghasilkan pembelajaran murid yang berkesan.

4.1 DEFINISI SEKOLAH

Umum telah mengetahui bahawa sekolah adalah sebuah tempat untuk mengajar dan belajar,
tempat untuk memberi dan menerima pendidikan formal. Sekolah dianggap sebagai pusat
menimba ilmu khusus kepada kanak-kanak, bermula dari peringkat pra sekolah, sekolah
rendah, sekolah menengah dan seterusnya ke peringkat yang lebih tinggi lagi. Bagi setiap
kategori tersebut dikenali dengan nama-nama yang berlainan. Pra Sekolah bagi kanak-kanak
yang berusia 5 dan 6 tahun. Sekolah Kebangsaan atau Sekolah Rendah bagi peringkat usia 7
hingga 12 tahun. Sekolah Menengah bagi peringkat usia 13 hingga 19 tahun. Manakala

UMS
TZ10103

Universiti, Kolej, Institut, Maktab dan sebagainya adalah pusat-pusat pengajian tinggi. Namun
konsepnya adalah sama, yakni memberi pendidikan (mengajar dan belajar).

4.2 DEFINISI PENDIDIKAN

Pendidikan yang dimaksudkan ialah satu perubahan tingkahlaku individu setelah mengalami
proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah. Pendidikan itu sendiri merangkumi
proses P&P tersebut. Pengajaran dapatlah diertikan sebagai satu sistem kegiatan yang
ditujukan kepada pelajar. Kegiatan ini adalah bertujuan untuk membawa perubahan tertentu
dalam tingkahlaku pelajar yang ingin ditimbulkan oleh guru. Untuk mencapai tujuan itu, guru
perlulah mempunyai pandangan yang jelas terhadap perubahan tertentu dalam tingkahlaku
pelajar yang ingin ditimbulkan oleh guru, iaitu dari segi pengetahuan dan kefahaman yang
guru mahu pelajar dapat gunakan serta perubahan dalam sikap mereka.

Pembelajaran pula adalah satu proses yang membawa kepada berlakunya perubahan
dan perlakuan dalam diri seseorang individu hasil daripada pengalaman-pengalaman baru
yang diperolehi atau dialaminya. Perubahan perlakuan pertuturan (verbal behaviour)
seseorang individu itu adalah menjadi perhatian utama kerana daripada penulisan dan
pertuturannya dapat dipastikan sama ada telah berlaku perubahan perlakuan seseorang itu.

4.3 DEFINISI ORGANISASI


Organisasi membawa erti satu kesatuan yang mempunyai bahagian-bahagian yang tertentu
yang mempunyai tujuan untuk kepentingan ahli-ahli dalam organisasi tersebut. Organisasi
kurikulum sekolah rendah membawa maksud satu gabungan atau kesatuan yang mempunyai
objektif mentadbir, mengajar dan belajar. Tugas mentadbir di sesebuah sekolah diserahkan
kepada Pentadbir dengan dibantu oleh Penolong-penolong Kanan, Guru-guru Kanan Mata
Pelajaran dan juga pekerja-pekerja perkeranian. Manakala tugas mengajar dipikul oleh guru-
guru di sekolah tersebut. Murid-murid pula mempunyai peranan belajar dan menerima tunjuk
ajar dari guru-guru. Gabungan komponen-komponen inilah yang menjadikan sekolah itu
sebagai sebuah organisasi pendidik

UMS
TZ10103

Kedudukan Sekolah Dalam Sistem Pendidikan Negara

Model Hiraki Asas Sistem Pendidikan Malaysia

Dalam sistem pendidikan negara, kedudukan sekolah adalah terletak di bahagian paling
bawah sekali. Secara umumnya Kementerian Pelajaran akan membuat dasar pendidikan
dengan diterajui oleh Menteri Pelajaran. Dasar-dasar yang digubal serta rekabentuk kurikulum
oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) itu diserahkan kepada Jabatan Pendidikan
Negeri (JPN) untuk dilaksanakan. Seterusnya JPN akan memanjangkannya kepada Pejabat
Pendidikan Daerah (PPD), manakala PPD akan memastikan sekolah-sekolah melaksanakan
dasar pendidikan dan rekabentuk kurikulum daripada BPK tersebut. Dalam keempat-empat
peringkat itu, hanya sekolah sahaja yang mempunyai murid di mana murid ini akan menerima
proses pendidikan mengikut dasar yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Pelajaran yang
dirancang khas oleh BPK yang telah disalurkan melalui organisasi kurikulum sekolah rendah.

UMS
TZ10103

4.4 PERANAN SEKOLAH


Organisasi kurikulum sekolah rendah menetapkan sekolah supaya berperanan menyusun
gerakan pendidikan untuk membangun, memupuk dan menyuburkan seluruh potensi
keinsanan dari sudut-sudut rohaniah mahupun jasmaniah, sehinggalah pontensi itu dapat
membina kemampuan kendiri (boleh berdikari) untuk terus subur dan berkembang. Di
samping itu mampu pula menghadapi segala kemungkinan lingkungan suasana persekitaran
sehingga insan yang dilahirkan (dari kesan pendidikan) itu akan sentiasa berusaha
membangun diri, keluarga, organisasi dan negara dalam batasan wilayah dan kemampuan
masing-masing.

Antara peranan sekolah sebagai organisasi kurikulum sekolah rendah ialah:

 sebagai pusat pendidikan yang mempunyai kemudahan fizikal dan sumber manusia
yang kompetan dan berilmu
 menjadi agen penggerak dan penerus perubahan masyarakat.
 menjadi katalis (pemangkin) perubahan.
 menjadi pusat pembinaan budaya ilmu dan penggerak kepada gerakan memajukan
prinsip pendidikan sepanjang hayat untuk masyarakat seluruhnya selaras dengan
Falsafah Pendidikan Negara.
 berperanan sebagai agen pendidikan dan pembangunan yang utama dalam pembinaan
tamadun bangsa.
 menjadi asas melahirkan pemimpin-pemimpin sosial (masyarakat) dan politik dan
juga membangkitkan kesedaran perjuangan.
 menjadi pusat gerakan pendidikan yang dapat melaksanakan program mobilisasi,
latihan, khidmat bimbingan dan rundingcara serta penyelidikan
 melahirkan anggota masyarakat yang berilmu dan beradab, berketrampilan,
bertanggungjawab dan berupaya mencapai kesejahteraan dan kemakmuran negara.

4.7 SUMBER DI SEKOLAH


Organisasi kurikulum sekolah rendah sebagai sebuah organisasi pendidikan sudah tentu
sekolah mempunyai sumber atau tenaga untuk menjalankan peranan-peranan di atas.
Pengurusan sekolah memainkan peranan penting kepada asas organisasi tersebut. Selain dari
pengurusan, guru dan murid, falsafah pendidikan sekolah, kurikulum, panitia mata pelajaran,

UMS
TZ10103

pusat sumber sekolah, peraturan sekolah dan sebagainya adalah juga sumber yang
menentukan pencapaian sekolah. Selain dari sumber-sumber fizikal dan infrastruktur seperti
bangunan, padang dan gelanggang permainan, keceriaan dan keselamatan.

4.8 FALSAFAH DAN MATLAMAT PENDIDIKAN SEKOLAH


Falsafah pendidikan sekolah menjadi penentu asas kepada segala program dan kegiatan yang
dirancang dan dilaksanakan di sesebuah sekolah itu. Falsafah dan matlamat ini perlulah
seiring dengan Falsafah Pendidikan Negara yang berbunyi:

"Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke-


arahmemperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruhdan bersepadu
untuk mewujudkan insan yang seimbang danharmonis dari segi intelek, rohani, emosi
dan jasmani,berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi
melahirkan rakyat Malaysia yang berilmupengetahuan, berketrampilan, berakhlak
mulia,bertanggung jawab dan mencapai kesejahteraan diri serta memberi
sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara."

Dalam usaha ke arah pencapaian falsafah dan matlamat pendidikan sekolah yang ditetapkan
itu, suasana persekolahan yang memberi peluang kepada murid-murid mendapat pengalaman
hidup, bertukar-tukar pendapat, membina persefahaman dan kerjasama di antara satu sama
lain perlulah diwujudkan. Perhatian yang wajar haruslah diberi kepada perkembangan murid
secara menyeluruh bukan hanya menitikberatkan satu-satu aspek tertentu sahaja. Kejayaan
atau kegagalan mencapai hasrat dan kehendak falsafah dan matlamat pendidikan sekolah
bergantung kuat kepada peranan Pentadbir sesebuah sekolah itu. Prinsip yang terkandung
dalam falsafah dan matlamat pendidikan sekolah itu boleh difahamkan sebagai hasil program
pendidikan sekolah yang akan tercapai setelah ianya terlaksana dalam satu jangkamasa
tertentu.

4.9 PENGURUSAN PENDIDIKAN


Secara umumnya organisasi kurikulum sekolah rendah disokong oleh pengurusan pendidikan
serta struktur pentadbiran yang lengkap dan mempunyai fungsi-fungsi yang tertentu di mana

UMS
TZ10103

setiap fungsi itu saling melengkapi kepada fungsi yang lain (complimentary). Sesebuah
pengurusan pendidikan yang cekap dapat menggunakan semua sumber dengan berkesan.

Rajah 1: Menunjukkan bidang pengurusan sekolah

Organisasi kurikulum sekolah rendah serta pengurusan pendidikan merupakan bidang yang
amat istimewa kerana ia merupakan aspek-aspek yang sangat penting dalam proses
pembinaan generasi. Bidang ini tidak sahaja dikaitkan dengan proses pendidikan dan
pengurusan, tetapi juga dikaitkan secara langsung dengan ilmu pengetahuan. Oleh kerana sifat
ilmu itu berkembang, kemahiran pengurusan juga tidak dapat mengelak dari berkembang
sama. Organisasi kurikulum sekolah rendah juga dikaitkan dengan kualiti pendidikan. Kualiti
pendidikan diukur dengan kualiti generasi baru yang dihasilkan. Indikator kualiti itu berkait
rapat dengan keupayaan Kementerian Pelajaran, Jabatan Pendidikan, sekolah dan bilik darjah
yang akan melahirkan generasi pelajar yang bukan sahaja berkemampuan untuk terlibat dalam
pasaran kerja (job market), tetapi dalam masa yang sama generasi pelajar itu memiliki kualiti
akhlak dan diri yang cemerlang.

UMS
TZ10103

Dalam konteks reformasi pendidikan yang bertunjangkan Falsafah Pendidikan Negara,


peranan pengurusan pendidikan dilihat amat penting bagi melahirkan generasi seimbang dan
harmonis yang bukan sahaja memiliki keupayaan intelek yang baik dan ketangkasan jasmani
yang teruji, tetapi dalam masa yang sama memiliki kekuatan dalaman yang berdaya tahan.

4.10 PERANAN PENTADBIR


Di antara peranan dan tanggungjawab Pentadbir sebagai pengurus sesebuah organisasi
pendidikan dalam organisasi kurikulum sekolah rendah ialah:

 memahami dan mengetahui secara mendalam tentang Falsafah Pendidikan Negara


yang terjelma dalam falsafah pendidikan sekolahnya, termasuk matlamat KBSR.
 membimbing, menyedar dan menyelia guru-guru di bawahnya ketika melaksanakan
tugas mereka untuk memastikan segala program dan kegiatan yang dijalankan itu
sesuai, selaras dan secocok dengan falsafah dan matlamat pendidikan tersebut.
 memainkan peranan yang positif dan serius untuk menjamin staf profesionalnya bukan
sahaja setakat memahami bahkan juga bertindak untuk mencapai matlamat pendidikan
yang ditetapkan, sama ada secara tersurat atau tersirat.
 mempunyai peranan dan tanggungjawab ke atas kejayaan pencapaian hasrat, cita-cita
dan kehendak falsafah dan matlamat pendidikan sesebuah sekolah.
 membimbing dan mendorong serta meransang guru untuk bekerja dengan semangat
dedikasi dan komitmen yang tinggi dengan menggunakan kemahiran berkomunikasi.
 menjadikan sekolahnya sebagai lambang kepada segala nilai, kepercayaan, cita-cita
dan hasrat yang diperjuangkan oleh sekolahnya serta berkeupayaan untuk menjelaskan
tujuan dan rasional di sebalik pelaksanaan kurikulum dan kokurikulum sekolah kepada
semua pihak yang berkenaan.

4.11 PERANAN GURU

Guru mempunyai peranan yang sangat besar dalam organisasi kurikulum sekolah rendah
semasa mendidik murid-murid sejajar dengan Falsafah Pendidikan Negara. Kemahiran dan
pengalaman mengajar bukan sahaja didapati di bilik-bilik kuliah, tetapi dari penglibatan yang
UMS
TZ10103

menyeluruh dan bersepadu melalui pelbagai aktiviti gerak kerja luar. Profesion perguruan
berkehendakkan guru-guru melengkapkan diri mereka dengan pelbagai pengetahuan dan
kemahiran. Sebagai pendidik, guru-guru seharusnya peka kepada organisasi kurikulum
sekolah rendah untuk menguasai pelbagai kemahiran iaitu:

 Kemahiran belajar ke arah mempertingkatkan lagi potensi pelajar-pelajar dalam proses


pembelajaran.
 Kemahiran berfikir ke arah mewujudkan pemikiran yang lateral iaitu yang bersikap
positif, kreatif dan inovatif.
 Kemahiran merancang ke arah mewujudkan sistem penyampaian yang berkesan serta
bersistematik.
 Kemahiran menyediakan bahan pengajaran/pembelajaran ke arah mewujudkan
pendekatan yang lebih bersifat resource base dalam proses pengajaran.
 Kemahiran mengajar iaitu dapat menggabungkan aspek-aspek teori-teori, pedagogi
dan teknologi pendidikan untuk diintegrasikan dalam pengajaran.
 Kemahiran menilai supaya dapat membuat analisis dan diognisis terhadap pencapaian
pelajar dan hubungkaitnya dengan objektif pembelajaran.
 Kemahiran membuat kajian pendidikan ke arah membudayakan masyarakat yang peka
terhadap perkembangan penyelidikan dalam menentukan kualiti pendidikan.
 Kemahiran berkomunikasi secara lisan dan tulisan ke arah melahirkan masyarakat
penyayang, mempunyai nilai-nilai murni, bersefahaman serta semangat bekerjasama
dalam satu pasukan.
 Kemahiran mengurus dan menjalankan aktiviti luar ke arah melahirkan generasi yang
mempunyai nilai kepimpinan yang tinggi, sihat, berpengalaman, dinamik dan peka
terhadap persekitaran luaran.
 Kemahiran menangani masalah dan cabaran ke arah membentuk jiwa yang rasional
berkeupayaan mengawal emosi dan bertanggungjawab dalam menjalankan tugas.
 Kemahiran berusaha ke arah perkembangan kendiri ke arah memupuk imej kendiri
(self-image), kesedaran diri (self-awareness) sebagai salah satu aspek motivasi diri.

Kemahiran-kemahiran di atas bukan sahaja dapat diperolehi di bilik-bilik kuliah atau di pusat-
pusat sumber, tetapi melalui penglibatan yang aktif dalam kelab atau persatuan dan juga
aktiviti-aktiviti sosial.

UMS
TZ10103

4.12 ORGANISASI KURIKULUM

Organisasi kurikulum sekolah rendah boleh ditakrifkan sebagai pengalaman yang diberikan
kepada murid-murid secara terancang di bawah bimbingan dan panduan sekolah. Dari segi
prinsip utamanya, kurikulum sekolah rendah memberi pendidikan yang bercorak pendidikan
asas dengan penegasan kepada pendidikan di bidang 3M iaitu membaca, menulis dan
mengira. Kurikulum juga menegaskan perkembangan individu secara menyeluruh dan
seimbang dari segi intelek, rohani, jasmani dan perkembangan bakat murid-murid.

Dari segi pelaksanaannya, organisasi kurikulum sekolah rendah sekolah rendah


menegaskan pemerolehan pengetahuan dan kemahiran melalui pengalaman secara langsung,
yakni penglibatan setiap murid secara aktif melalui aktiviti-aktiviti yang menarik dalam
proses pengajaran dan pembelajaran. Organisasi kurikulum sekolah rendah merangkumi
perkara-perkara seperti kursus pengajian, sukatan pelajaran, penjadualan waktu pembelajaran,
pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, aktiviti-aktiviti di luar bilik darjah
(kokurikulum) yang dilaksanakan secara terancang dan bahan-bahan sokongan yang
dicadangkan, dihasil dan dibekalkan untuk pelaksanaan kurikulum di peringkat sekolah.

Dalam organisasi kurikulum sekolah rendah terdapat dua jenis kurikulum sekolah iaitu
kurikulum tersurat dan kurikulum tersirat. Kurikulum tersurat ditujukan kepada aspek-aspek
kurikulum yang telah ditetapkan dan dinyatakan secara jelas dan terang kepada pelaksana-
pelaksana kurikulum. Perkara-perkara yang tersurat seperti mata pelajaran, sukatan pelajaran,
peruntukan masa, bahan-bahan pengajaran, kaedah-kaedah pengajaran, pengurusan
pengajaran. Segala yang tersurat ini mudah dinilai dan dikawal berpandukan peraturan-
peraturan, arahan-arahan dan cara-cara penilaian yang telah ditetapkan. Kurikulum tersirat
pula adalah unsur-unsur yang tidak dirancang tetapi mempunyai pengaruh dan memainkan
peranan yang berkesan terhadap proses kurikulum yang sudah tersurat tadi. Contohnya iklim
sekolah, budaya kerja, budaya sosial sekolah dan persekitaran juga mendatangkan kesan
dalam membentuk sikap, minat, akhlak, aspirasi dan kepercayaan seseorang murid.

UMS
TZ10103

4.13 PANITIA MATA PELAJARAN

Di antara tujuan panitia mata pelajaran (PMP) ialah merancang dan menyelaraskan
pengurusan mata pelajaran masing-masing, memperbaiki dan meningkatan mutu dan
kekesanan pengajaran dan pembelajaran di samping berusaha memperbaiki dan mendapatkan
strategi-strategi mengajar yang inovatif mengikut perkembangan pendidikan semasa yang
boleh mendorong mewujudkan perkembangan intelek dan rohani murid-murid sejajar dengan
Falsafah Pendidikan Negara dengan aplikasikan organisasi kurikulum sekolah rendah. Selain
itu PMP juga mempunyai objektif memperbaiki prestasi murid-murid di dalam peperiksaan
sekolah ataupun peperiksaan awam dalam mata pelajaran berkenaan. Ini dibuat berpandukan
kepada prestasi atau sasaran yang ditunjukkan dalam rancangan akademik sekolah. PMP juga
boleh mewujudkan semangat bekerjasama di antara panitia mata pelajaran dan persatuan
akademik yang ditubuhkan di sekolah.

Fungsi dan peranan PMP dalam organisasi kurikulum sekolah rendah sejajar dengan
peranannya sebagai sebuah badan ikhtisas ialah:

 memperolehi sukatan pelajaran dan menyediakan rancangan mengajar yang


diselaraskan mengikut penggal berdasarkan keperluan sesuatu darjah atau kelas.
 memilih dan mencadangkan kepada Pentadbir buku teks untuk digunakan oleh murid
berdasarkan kepada kesesuaian buku itu dengan kehendak-kehendak sukatan pelajaran
dan tahap kebolehan murid-murid tersebut.
 memilih dan mencadangkan buku-buku rujukan atau bahan-bahan bacaan tambahan
dan alat-alat bantu mengajar yang sesuai dengan keperluan pembelajaran murid-murid
dan juga kegunaan guru-guru untuk dibekalkan di pusat sumber sekolah.
 menyediakan sudut-sudut dan bahan-bahan pembelajaran dan merancang
penggunaannya kepada pelajar.
 menyelaraskan soalan-soalan ujian dan peperiksaan dalaman yang disediakan bagi
tiap-tiap darjah dan menubuhkan bank soalan.
 mengkaji dan menganalisis keputusan peperiksaan murid-murid bagi tiap-tiap
peperiksaan (khususnya peperiksaan penggal/semester) dan mengambil langkah-
langkah untuk mengatasi kelemahan murid-murid dan pengajaran guru.

UMS
TZ10103

 merancangan dan menjalankan aktiviti perkembangan staf peringkat panitia dalam hal-
hal berkaitan profesional perguruan.
 membantu guru-guru baru dalam hal-hal ikhtisas.
 membantu pihak pentadbir dalam merancang perbelanjaan tahunan berdasarkan
peruntukan yang diberi.
 merancang aktiviti-aktiviti panitia bagi tujuan meningkatkan prestasi murid-murid dari
masa ke semasa.

RUMUSAN

Dalam perancangan sesuatu kejayaan dan kecemerlangan, penentuan bagi kedua-duanya


didokong oleh beberapa faktor. Apabila semua sumber dapat diurus dengan baik dan
menghasilkan kecemerlangan dari semua segi, dapatlah diandaikan bahawa tiada pembaziran.
Terdapat di kalangan guru sudah berpuas hati apabila telah berjaya menghasilkan peratus
keputusan yang tinggi sedangkan beliau tidak menggunakan seluruhnya sumber yang
diperuntukan. Ini belum dapat memberi jaminan kepada guru tersebut bahawa setiap tahun
beliau akan memperolehi kejayaan yang sama. Begitu juga Pusat Sumber Sekolah. PSS
ghalibnya jarang menerima kunjungan dari semua pihak di dalam masyarakat sekolah itu. Jika
dibuat bancian sudah tentu terdapat individu-individu, sama ada dari kalangan guru atau
murid tidak pernah menghampiri PSS. Hal ini bukanlah aneh kerana sememangnya
pendekatan dan tarikan yang terdapat di PSS itu sendiri tidak memberansangkan.

Keceriaan persekitaran sekolah juga membantu murid memanfaatkan alam semula jadi
sebagai sesuatu yang perlu dipelihara. Hal ini sering diabaikan oleh banyak pihak suatu masa
dahulu walaupun kini pihak berkuasa pendidikan telah mula memberi tumpuan kepada
pemeliharaan dan pemuliharaan sumber-sumber semula jadi ini. Pentadbir juga tidak
kurangnya melakukan pembaziran sumber. Ini berlaku kerana pengetahuan yang cetek dalam
sesuatu hal menjadikan beliau sentiasa bimbang dan tidak berani membuat keputusan yang
segera. Nyatalah ilmu yang luas dan pertimbangan yang rasional akan membantu Pentadbir
melakukan tugas dengan sempurna dan juga dapat menguruskan semua sumber yang tersedia
dengan berkesan serta penggunaan yang optimum dari sumber tersebut.

UMS
TZ10103

Organisasi Kurikulum Pendidikan Sekolah Rendah adalah satu komponen penting dalam
Kurikulum Sekolah Rendah. Organisasi Kurikulum Sekolah Rendah memainkan peranan
yang instrumental untuk menjayakan kurikulum secara menyeluruh. Jikalau Organisasi
Kurikulum Sekolah Rendah tidak diaplikasikan dalam mana-mana sistem pendidikan maka
kurikulum itu mungkin mengalami kekangan untuk mencapai matlamat dan objektif
kurikulum tersebut. Organisasi Kurikulum Sekolah Rendah yang disyorkan oleh Kementerian
Pelajaran Malaysia bersama dengan Bahagian Pembangunan Kurikulum Malaysia adalah
panduan yang amat mantap untuk diaplikasi oleh jabatan pelajaran negeri PPD dan sekolah-
sekolah secara praktikal. Organisasi Kurikulum Sekolah Rendah yang efektif adalah tanda
positif kepada pembangunan mana-mana sistem kurikulum secara amnya.

FIKIR! Penerokaan Lanjutan


1. Bincangkan keberkesanan organisasi kurikulum sekolah rendah di tempat anda
bertugas. Serta JELASKAN peranan-perana utama oleh setiap individu dalam
organisasi kurikulum sekolah rendah di tempat anda bertugas.

2. Pentadbir dan guru memainkan peranan yang penting dalam melaksanakan organisasi
kurikulum sekolah rendah secara optimum. TERANGKAN bagaimana mereka
berfungsi dalam organisasi kurikulum sekolah rendah untuk mancapai matlamat dan
objektif kurikulum secara menyeluruh.

UMS

Você também pode gostar