Você está na página 1de 5

Andaian dan Prinsip Asas Perakaunan

Dalam perakaunan terdapat beberapa andaian dan prinsip yang menjadi asas kepada cara perakaunan diamalkan. Andaian dan prinsip tersebut menjadi panduan kepada bagaimana penyata perakaunan disediakan. Melalui perisian ini, anda diperkenalkan kepada beberapa andaian dan prinsip penting dalam perakaunan. Antara andaian dan prinsip asas yang dibincangkan ialah:

Entiti berasingan (separate entity) Untuk tujuan perakaunan, sesebuah perniagaan dianggap sebagai satu entiti yang bebas dan terpisah daripada pemiliknya walaupun dari segi perundangan beberapa jenis pemilikan tidak dianggap asing daripada tuan punya. Penyata kewangan sepatutnya menyediakan maklumat tentang perniagaan bukan tentang hal ehwal pemilik perniagaan.

Jika sesuatu perniagaan dimiliki hanya oleh seorang individu (peniaga tunggal) atau sekumpulan individu (perkongsian), undang-undang tidak membezakan antara perniagaan dan pemiliknya. Tetapi jika bentuk perniagaan ialah syarikat, ia adalah entiti perundangan iaitu di segi undang-undang ia dianggap berasingan atau berbeza dan terpisah daripada pemegang saham yang memilikinya.

Bagi tujuan perakaunan, sesuatu perniagaan dianggap sebagai satu entiti yang bebas walau apa pun status perundangan.

Sebagai contoh, jika pemilik tunggal perniagaan menggunakan aset tunai perusahaan untuk membayar bil elektrik rumahnya, belanja tersebut tidak boleh direkodkan sebagai belanja elektrik perniagaan. Tunai yang digunakan perlu direkodkan kerana aset perniagaan telah berkurangan tetapi catatan beregu ialah dengan akaun yang menunjukkan pengurangan hak pemilik tersebut.

Konsep entiti berasingan hendaklah dipatuhi pada setiap masa supaya prestasi perniagaan yang diukur sememangnya berkaitan dengan perniagaan sahaja.

Usaha berterusan (going concern)

Apabila menyediakan penyata kewangan, pihak pengurusan perlu menilai keupayaan sesebuah perusahaan untuk terus beroperasi sebagai satu usaha berterusan. Penyata kewangan disediakan dengan mengandaikan usaha berterusan kecuali perusahaan bercadang untuk membubarkan perniagaan atau menghentikan perniagaan, atau tidak ada pilihan kecuali menutup perniagaan. Andaian ini bermaksud sesebuah perniagaan itu dianggap akan terus beroperasi secara berterusan sehinggalah perniagaan mengumumkan sebaliknya.

Semasa membuat penilaian, jika pihak pengurusan sedar akan ketidakpastian yang matan/material berkaitan dengan peristiwa atau keadaan yang mungkin menimbulkan keraguan tentang keupayaan perusahaan untuk terus beroperasi sebagai satu usaha berterusan, ketidakpastian ini mesti didedahkan.

Jika penyata kewangan tidak disediakan dengan menggunakan andaian usaha berterusan, fakta ini mesti didedahkan bersama-sama dengan i)asas yang digunakan untuk menyediakan penyata kewangan dan ii)sebab mengapa perusahaan tidak dianggap sebagai satu usaha berterusan.

Asas akruan (accrual basis) Sesebuah perusahaan perlu menyediakan penyata kewangan mengikut asas akruan kecuali maklumat aliran tunai.

Mengikut perakaunan asas akruan, urus niaga dan peristiwa diiktiraf apabila ia berlaku (bukan bila tunai diterima atau dibayar). Ini bermaksud semua urus niaga direkodkan sebagai urus niaga tempoh ia berlaku dan seterusnya dilaporkan dalam penyata kewangan dalam tempoh yang sama.

Sebagai contoh, andaikan perniagaan membeli barang niaga pada bulan Januari X1 dan bayaran hanya dibuat pada bulan Januari X2. Mengikut perakaunan asas akruan, urus niaga ini perlulah dilaporkan dalam tahun perakaunan X1 bukan X2.

Belanja diiktiraf dalam penyata pendapatan berdasarkan perkaitan langsung di antara belanja tersebut dengan hasil yang diperoleh. Oleh itu setiap urus niaga yang dilaporkan dalam sesuatu laporan perakaunan yang disediakan berdasarkan asas akruan adalah sememangnya berkaitan tempoh yang diliputi oleh laporan tersebut. Ini bermakna sesuatu penyata pendapatan itu akan mencakupi semua hasil yang terjadi dalam tempoh yang dilaporkan serta belanja yang berkaitan dengan tempoh laporan yang sama. Belanja dikatakan sebagai dipadankan dengan pendapatan yang berkaitan.

Pemadanan (matching) Mengikut prinsip ini, untuk menentukan untung/rugi sesuatu tempoh, hasil yang diperolehi bagi satu tempoh mesti dipadankan dengan belanja yang dikenakan untuk memperolehi hasil bagi tempoh yang sama. Konsep ini adalah penting untuk mengukur prestasi sesebuah perniagaan bagi sesuatu tempoh.

Sebagai contoh, barang niaga sebanyak 10 unit telah dibeli di awal tempoh perakaunan dengan kos RM1.00 setiap satu. Dalam tempoh perakaunan tersebut, 7 unit telah dijual pada harga RM1.20 satu. Jika prestasi perniagaan diukur dalam tempoh ini, nilai jualan ialah RM8.40 dan kos barang niaga yang telah dijual ini ialah RM7.00 bukan RM10.00. Ini adalah kerana dalam menjanakan hasil sebanyak RM8.40, hanya 7 unit barang niaga dijual bukan 10. Sekiranya terdapat belanja lain bagi perkhidmatan atau perkara lain yang terpaksa ditanggung bagi menjanakan hasil RM8.40 itu, belanja-belanja ini juga perlu ditolak daripada RM8.40 sebagai mematuhi konsep pemadanan.

Ketekalan dalam persembahan (consistency) Persembahan dan klasifikasi item dalam penyata kewangan mesti dikekalkan dari satu tempoh ke tempoh berikutnya kecuali: terdapat satu perubahan yang signifikan dalam sifat operasi perusahaan; atau satu kajian semula persembahan penyata kewangan menunjukkan bahawa perubahan (dalam persembahan dan klasifikasi) akan menghasilkan satu persembahan urus niaga dan peristiwa yang lebih sesuai; atau terdapat satu perubahan dalam persembahan yang diperlukan oleh satu piawaian MASB atau sebarang pengumuman teknikal yang diterbitkan oleh MASB atau peraturan/arahan lain.

Contohnya dalam isu kaedah susut nilai, sekiranya perusahaan telah memilih salah satu daripada beberapa kaedah yang dibenarkan mengikut peraturan Piawaian MASB sebagai dasar perakaunannya, kaedah ini hendaklah dikekalkan dalam semua tempoh pelaporan perakaunan kecuali jika salah satu ataupun kedua-dua situasi di atas timbul.

Kematanan/materialiti (materiality) Maklumat dianggap matan sekiranya maklumat itu, jika tidak didedahkan (undisclosed), boleh mempengaruhi keputusan ekonomi yang dibuat oleh pengguna berasaskan penyata kewangan.

Kematanan bergantung kepada saiz dan sifat sesuatu item yang dinilai dalam keadaan tertentu. Keduadua ciri ini dinilai bersama. Salah satu ciri ini boleh jadi faktor penentu.

Keperluan pendedahan spesifik piawaian MASB tidak perlu dipatuhi jika maklumat yang dihasilkan adalah tidak material.

Dari segi persembahan, setiap item yang matan/material perlu dipersembahkan secara berasingan dalam penyata kewangan. Item yang tidak material perlu dijumlahkan dengan item yang sama sifat atau fungsinya dan tidak perlu dipersembahkan secara berasingan.

Unit kewangan (money measurement) Perakaunan kewangan hanya melaporkan maklumat yang boleh diukur dalam unit kewangan. Sebagai contoh, aset perniagaan yang tidak dapat diukur dalam unit kewangan seperti bilangan pekerja mahir tidak diambil kira dalam penyata kewangan. Setiap negara akan menggunakan unit mata wang tersendiri. Oleh yang demikian, jika anda ingin membandingkan penyata perakaunan yang disediakan berdasarkan unit mata wang yang berbeza, anda perlulah menukarkan unit kewangan setiap penyata kepada unit yang sama mengikut pilihan anda. Jika penukaran kepada unit yang sama tidak dilakukan, maklumat yang diperolehi tidak mempunyai makna.

Tempoh atau jangka masa perakaunan (accounting period) Walaupun dalam bahagian terdahulu anda dimaklumkan bahawa sesebuah perusahaan itu diandaikan akan berterusan usianya, bagi tujuan mengukur prestasi, usia perniagaan itu dianggap boleh dibahagikan kepada beberapa tempoh/jangka masa. Kebiasaannya penyata kewangan disediakan setahun sekali. Tahun perakaunan tidak semestinya sama dengan tahun kalendar. Dengan mengamalkan sistem perekodan secara berkomputer, penyediaan penyata kewangan mengikut tempoh-tempoh yang lebih pendek sehinggakan kepada setiap satu jam jika perlu, dapat dilaksanakan dengan mudah.

Kos Sejarah (historical cost) Mengikut konvensyen ini, aset dilaporkan dalam kunci kira-kira pada kos sejarah (kos asal) atau pada nilai yang berasaskan kos sejarah. Nilai pasaran semasa aset diabaikan untuk tujuan pelaporan luar.

Walaupun penggunaan kos sejarah akan meningkatkan lagi objektiviti penyata kewangan (dan seterusnya kebolehpercayaan/reliabiliti) tetapi ia mungkin dianggap kurang relevan bagi kebanyakan pengguna yang lebih inginkan nilai semasa. Perkembangan semasa pelaporan perakaunan memerlukan pelaporan yang berasaskan nilai saksama (fair value reporting). Dalam keadaan ini, kemungkinan nilai yang diterima pakai bukan berdasarkan kos sejarah. FRS 101 yang menggantikan MASB 1 memuatkan peraturan berkaitan falsafah pelaporan yang menitikberatkan kerelevanan maklumat kepada pengguna. Dasar berkaitan nilai terkini dibentangkan untuk mengatasi masalah kurang relevan maklumat yang disediakan berasaskan kos sejarah.

Catatan beregu Mengikut konsep ini, semua urus niaga perniagaan mempunyai dua aspek atau kesan. Oleh yang demikian, bagi setiap urus niaga (pada peringkat yang paling terperinci), catatan akan dibuat sebanyak dua kali. Sebagai contoh, apabila perniagaan mendapat pinjaman daripada bank sebanyak RM10,000; kesan daripada urus niaga ini ialah, aset perniagaan bertambah sebanyak RM10,000 dan pada masa yang sama perniagaan ini mempunyai tanggungan sebanyak RM10,000. Setiap urus niaga akan mempengaruhi sekurang-kurangnya dua catatan. Satu catatan ialah di bahagian debit dan satu lagi di bahagian kredit.

Você também pode gostar