Você está na página 1de 2

ADAT PEPATIH Yang dihormati Cik Muzalifah binti Mohamad Noor, barisan urusetia yang setia dengan tugasnya

dan yang dikasihi rakan-rakan seperjuangan sekelian. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh


LEBAT DAUN BUNGA TANJUNG BERBAU HARUM BUNGA CEMPAKA ADAT DIJAGA PUSAKA DIJUNJUNG BARU TERPELIHARA ADAT PESAKA

Pantun ini berkenaan dengan adat, bila sebut adat, pastinya tergambar difikiran kita adat pepatih. Bak kata orang-orang lama Tak kenal maka tak cinta , disebabkan itu, saya suka berkongsi sedikit maklumat bersama tuan puan sekelian. Menurut Datuk Muhammad Salleh Yasin, ahli Jawatankuasa Penyelidik Lembaga Muzium Negeri Sembilan, amalan adat pepatih di Negeri Sembilan masa kini tidak sebulat yang diasaskan Datuk Perpatih Pinang Sebatang kira-kira 500 ratus tahun dahulu kerana ia telah diubahsuai mengikut kesesuaian orang Melayu di Tanah Melayu. Pada asalnya ia dibawa oleh orang Minagkabau dari Tanah Tinggi Padang Sumatera ke Negeri Sembilan pada abad ke-17 dan pengasasnya ialah Datuk Perpatih Nan Sebatang dari Sumatera. Adat ini bersendikan kepada lima prinsip utamanya. Pertama, keturunan dikira melalui nasab ibu kerana melalui ibu, lahirlah anggota masyarakat. Kedua, tempat kediaman adalah di kawasan ibu isteri, ini bermakna apabila telah berkahwin, sisuami akan tinggal dikawasan ibu isterinya sebagai orang semenda. Prinsip yang ketiga ialah perempuan mewarisi pusaka lelaki menyandang saka, ini bererti, jawatan-jawatan dalam adat disandang oleh orang lelaki manakala orang perempuan mewarisi harta pusaka keluarga ibunya. Keempat perkahwinan seperut atau sesuku adalah dilarang, hal ini kerana lelaki dan perempuan yang sama suku adalah bersaudara. Jika berlaku perkahwinan sesama suku, wanita akan hilang hak mewarisi harta dan lelaki tidak layak menyandang jawatan adat. Prinsip yang terakhir ialah orang luar boleh menjadi ahli sesuatu suku dengan tujuan untuk berkahwin atau waris mewarisi. Oleh itu, mereka perlu melalui upacara berkedim iaitu bersumpah taat setia dan bersaudara dengan ahli-ahli suku yang lain. Berdasarkan sumber, saya mendapati terdapat beberapa ciri unik dan istimewa yang terdapat pada adat ini. Antaranya ialah lebih mengutamakan golongon perempuan, ia boleh dilihat dalam soal pembahagian harta dan jurai keturunan. Walaubagaimanapun lelaki tetap merupakan pemegang tampuk pemerintahan yang tertinggi seperti jawatan Yamtuan Besar. Tujuan mewariskan tanah adat kepada perempuan adalah semata-mata untuk memelihara maruah dan kehormatan diri mereka. Dari segi undang-undang pula ia bersifat pemulihan. Seorang yang membuat kesalahan akan didenda mengikut kesalahannya dan mangsa akan diberi ganti rugi. Sebagai contoh, jika seseorang itu dilukakan, dia akan diberi ganti rugi dalam bentuk ayam atau daging dan ia bergantung kepada besar lukanya itu. Hal ini kerana adat percaya bahawa orang yang melakukan jenayah boleh berubah. Keunikan dan keistimewaan yang terakhir ialah adat pepatih bersifat demokrasi. Hal ini jelas dalam bidang pentadbiran, kuasa pemerintah dibahagikan diantara pemerintah, undang, lembaga, buapak dan orang ramai. Ini bermakna, orang ramai memilih Buapak, Buapak memilih Lembaga, Lembaga memilih Undang dan Undang memilih Yamtuan Besar. Pada hakikatnya banyak salah tanggap dan pandangan sinis yang timbul berkenaan adat pepatih ini. Oleh itu, banyak usaha yang perlu dilakukan bagi menangani salah tanggap ini. Akhirnya, dapatlah saya simpulkan di sini bahawa adat pepatih ini perlu dipelihara dan diteruskan selagimana ia tidak bertentangan dengan hukum Islam dan membawa kepada kebaikan. Hal ini penting, kerana ia merupakan warisan Malaysia amnya dan khusus bagi Negeri Sembilan. Sekian, terima kasih.