Criado por shamini

RAJA PERLEMBAGAAN

Peranan Majlis Raja-Raja Dalam Sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-184. Sumber : Perpustakaan Foto, Jabatan Penerangan Malaysia PENGENALAN Majlis Raja-Raja ditubuhkan secara formalnya hasil daripada perancangan British dalam tahun 1948 sebagai menggantikan Mesyuarat Raja-Raja Negeri-Negeri Bersekutu yang dikenali sebagai Majlis Raja-Raja Melayu (Durbar). Ianya pertama kali diadakan di Kuala Kangsar pada tahun 1897. Majlis ini dianggotai oleh empat orang Raja dari Negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Tinggi British. Durbar timbul daripada perkataan Urdu-Parsi (Darbar) yang membawa maksud istana raja. Durbar juga bermaksud perjumpaan atau persidangan umum yang diadakan oleh Raja-Raja ataupun gabenor atau wizurai British di India pada masa dahulu. Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang pertama diadakan ialah pada 31 Ogos dan 1 September 1948. Mesyuarat ini buat pertama kali dihadiri oleh semua sembilan orang Raja-Raja Melayu. FUNGSI Majlis Raja-Raja bukan sahaja agung tetapi juga unik kerana Majlis ini merupakan satu-satunya institusi yang sedemikian rupa wujud di dunia pada masa kini. Apabila negara mencapai kemerdekaan, penubuhan Majlis Raja-Raja telah dikanunkan mengikut Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan. Fungsi dan tugas-tugasnya mengikut Jadual Kelima Perlembagaan adalah seperti berikut: (a) memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi Persekutuan mengikut peruntukan-peruntukan Jadual Ketiga; (b) mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara ugama meliputi seluruh Persekutuan; (c) mempersetujui atau tidak mempersetujui apa-apa undang-undang dan membuat atau memberi nasihat mengenai apa-apa perlantikan yang, menurut Perlembagaan ini, memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja atau yang dikehendaki dibuat oleh atau selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja; (d) melantik anggota-anggota Mahkamah Khas di bawah Fasal (1) Perkara 182; (e) memberi ampun, reprief dan respit, atau meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman-hukuman, di bawah Fasal (12) Perkara 42, dan boleh menimbangkan soal-soal mengenai dasar negara (misalnya perubahan-perubahan tentang dasar imigresen) dan apa-apa jua perkara lain yang difikirkannya patut. Apabila Majlis Raja-Raja menimbangkan perkara-perkara mengenai dasar negara Yang di-Pertuan Agong hendaklah disertai oleh Perdana Menteri, dan Raja-Raja yang lain dan Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri disertai oleh Menteri-Menteri Besar atau Ketua-Ketua Menteri mereka. Tiada apa-apa undang-undang yang menyentuh secara langsung mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan dengan tiada persetujuan Majlis Raja-Raja. Majlis Raja-Raja hendaklah diminta fikirannya sebelum dibuat apa-apa perubahan tentang dasar mengenai tindakan pentadbiran di bawah perkara 153 (mengenai kedudukan dan keistimewaan orang Melayu, bumiputera serta juga hak kaum-kaum lain). BUDI BICARA MAJLIS RAJA-RAJA Ahli-ahli Majlis Raja-Raja boleh bertindak menurut budi bicara mereka dalam apa-apa urusan berhubung dengan tugas-tugas yang berikut, iaitu: (a) memilih atau memecat Yang di-Pertuan Agong daripada jawatannya; atau memilih Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi Persekutuan; (b) memberi nasihat mengenai apa-apa perlantikan yang ditetapkan oleh Perlembagaan; (c) mempersetujui atau tidak mempersetujui apa-apa undang-undang yang mengubah sempadan-sempadan sesuatu negeri atau yang menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja; (d) mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara ugama meliputi seluruh Persekutuan; (e) perlantikan anggota-anggota Mahkamah Khas di bawah Fasal (1) Perkara 182; atau (f) pemberian ampun, reprief dan respit, atau peremitan, penggantungan atau peringanan hukuman-hukuman, di bawah Fasal (12) Perkara 42. KEAHLIAN Semua Raja-Raja dan Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri secara automatik menjadi Ahli Majlis Raja-Raja. Kehadiran adalah mustahak. Jika atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, seorang ahli tidak dapat berangkat hadir, maka seorang wakil hendaklah dilantik mengikut peruntukan Undang-Undang Negeri/Tubuh bagi sesuatu negeri itu. Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri tidak boleh menjadi Ahli Majlis Raja-Raja bagi maksud mesyuarat berhubung dengan pemilihan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, melucutkan jawatan Yang di-Pertuan Agong dan membincangkan mengenai keistimewaan Raja-Raja. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bukanlah Ahli Majlis Raja-Raja. Baginda berangkat menghadiri mesyuarat pada hari yang kedua sebagai Ketua Negara Malaysia dan diiringi oleh Perdana Menteri sebagai penasihat baginda. PENGERUSI MESYUARAT Pengerusi bagi Mesyuarat Majlis Raja-Raja adalah dipegang oleh kesemua sembilan Raja Melayu secara bergilir-gilir. KEKERAPAN MESYUARAT Mesyuarat lazimnya diadakan tiga kali setahun tetapi Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja hendaklah memanggil Mesyuarat Majlis Raja-Raja apabila dikehendaki berbuat demikian oleh Yang di-Pertuan Agong atau oleh tidak kurang daripada tiga orang anggota Majlis ataupun tidak lewat daripada empat minggu sebelum habis tempoh jawatan Yang di-Pertuan Agong dan juga bilamana berlaku kekosongan dalam jawatan Yang di-Pertuan Agong atau jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong. TEMPAT MESYUARAT Bilik Mesyuarat Majlis Raja-Raja di Istana Negara ataupun di tempat-tempat lain setelah dipersetujui oleh Majlis. Mesyuarat Majlis Raja-Raja pernah diadakan di luar Istana Negara misalnya: Negeri-negeri yang pernah menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja adalah seperti berikut: 1 Mesyuarat ke 112 27-28 September 1978 Pulau Pinang (Hotel Rasa Sayang) 2 Mesyuarat ke 116 3-4 Oktober 1979 Sarawak (Dewan Undangan Negeri) 3 Mesyuarat ke 122 14-15 Oktober 1981 Selangor (Istana Alam Shah) 4 Mesyuarat ke 128 12-13 Oktober 1983 Sabah (Hotel Pantai Tanjung Aru) 5 Mesyuarat ke 138 2-3 Julai 1986 Perak (Istana Iskandariah) 6 Mesyuarat ke 153 13-14 Februari 1991 Kedah (Pelangi Beach Resort) 7 Mesyuarat ke 173 10-11 Julai 1996 Melaka (A� Famosa Resort) PENASIHAT Semua Menteri-Menteri Besar/Ketua-Ketua Menteri hadir sama selaku penasihat kepada Tuanku dan Yang di-Pertua Negeri. SETIAUSAHA MESYUARAT Pegawai yang menjadi Setiausaha kepada Majlis Raja-Raja yang juga dikenali sebagai Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. Beliau dilantik oleh Majlis Raja-Raja mengikut Seksyen 4 dalam Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan. URUSETIA Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Malaysia.